KETUA Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad gembira dengan satu mata yang berjaya dibawa pulang dari tempat lawan tetapi mahu para pemainnya supaya lebih bertenang dan segera memahami cara pengurusan permainan.

Meskipun gembira dengan satu mata namun Fandi tidak berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan terutama pada babak pertama kerana pemainnya dilihat kurang jelas dengan corak permainan yang dia mahukan.

Dia juga terpaksa menerima hakikat kecederaan yang melanda penyerang, Lucas Espindola menyebabkan Kpah Sherman kelihatan terasing dan keseorangan di bahagian atas.

“Babak pertama mungkin kami kurang jelas cara permainan kerana biasanya kami bermain ‘short passing‘ tetapi kali ini mereka lebih gemar bermain ‘long ball‘ kerana keadaan angin di stadium ini.

“Atas sebab itu saya terpaksa menukar pemain yang kurang efektif lebih awal dan akhirnya berjaya menjaringkan gol dan bersyukur dengan satu mata kerana tumpuan kami ketika hadir ke sini adalah mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Kpah kelihatan sedikit kekok kerana tidak ada gandingan penyerang namun dia bekerja keras membantu pemain lain mendapatkan bola. Ketiadaan Lucas menyebabkan kami agak tumpul di bahagian serangan.

Masalah kami adalah ‘game management‘ kerana kami perlu lebih tenang ketika menyerang dan bertahan tetapi kami akan atasi masalah ini dan secara keseluruhan saya kurang puas hati dengan corak permainan tetapi gembira dengan keputusan ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Fandi juga berharap agar tidak ada kecederaan serius yang melanda penjaga golnya, Izham Tarmizi Roslan selepas dia dikejarkan ke hospital selepas mengalami pelanggaran dengan pemain Negeri Sembilan FC.

Sri Pahang bakal melayan kunjungan Kelantan FC di Stadium Darul Makmur pada Rabu dan Fandi mahu segala kesilapan yang dikesan dapat diatasi dalam misi meraih mata penuh pertama musim ini di hadapan penyokong sendiri.