PEMAIN pertahanan negara, Shahrul Saad tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan pemain dengan kurang minit permainan tidak dapat beraksi pada tahap terbaik apabila diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Dia menganggap kem latihan skuad kebangsaan kali ini adalah yang terbaik pernah disertai dan berharap dapat memberikan kemenangan buat pasukan Malaysia apabila berhadapan Hong Kong pada Selasa

Ini adalah kali pertama skuad Harimau Malaya diisi oleh pemain-pemain berpengalaman yang meningkatkan persaingan antara para pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Minit permainan itu penting untuk semua pemain. Tapi itu bukan satu-satunya faktor dan alasan kerana sepanjang 10 hari ini, kami menjalani latihan dalam intensiti yang tertinggi dan semua pemain bersedia untuk bermain.

“Ini adalah kem terbaik yang pernah saya sertai. Persaingan kali ini sangat sengit terutama di bahagian pertahanan kerana banyak pemain berpengalaman dan semuanya berada dalam prestasi terbaik, namun ianya adalah persaingan yang sihat dan kami sentiasa menyokong antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Barisan pertahanan tengah kebangsaan kini menjadi rebutan antara Shahrul, Dion Cools, Dominic Tan dan Ahmad Khuzaimi Piee dengan kesemua layak diturunkan berdasarkan prestasi semasa di kelab masing-masing.

Shahrul juga selesa berlatih di bawah kendalian Kim Pan-gon dan dia memuji arahan jelas yang diberikan jurulatih Korea Selatan itu yang banyak membantu dirinya menjadi pemain pertahanan yang lebih baik sesuai dengan kehendak bola sepak moden.

Dia juga mahu semua pemain untuk meningkatkan prestasi ketika turun menentang Hong Kong pada Selasa dan berharap dapat memberikan kemenangan kepada para penyokong Harimau Malaya.