PEMAIN pasukan kebangsaan Maghribi tetap melafazkan rasa syukur walaupun tewas kepada Perancis pada separuh akhir Piala Dunia 2022. Skuad Atlas Lions gagal ke final selepas tewas 0-2 kepada Perancis.

Bertanding di Stadium Al Bayt, Al Khor, awa pagi Khamis gawang Maghribi dibolosi dua gol menerusi Theo Hernandez pada minit kelima dan Kolo Muani 79′.

Kekalahan itu menghentikan Singa Atlas dalam kejohanan bola sepak paling elit ini. Walaupun begitu, pemain pasukan kebangsaan Maghribi tetap dalam keadaan bersyukur.

Ini sebagai tanda terima kasih atas pencapaian mereka selama ini. Maghribi yang dibarisi Hakim Ziyech muncul pasukan kejutan di Piala Dunia 2022 .

Mereka menjadi pasukan Afrika pertama yang mara ke separuh akhir dalam sejarah Piala Dunia.

Lawan yang disingkirkan bukan calang-calang. Bermula membenam Belgium dalam fasa kumpulan, Sepanyol di pusingan 16 , hingga Portugal di suku akhir.

Selepas ini, Maghribi akan menentang Croatia dalam perlawanan merebut tempat ketiga Piala Dunia 2022 pada Sabtu.

Manakala, Perancis bertembung dengan Argentina untuk kejuaraan trofi pada Ahad malam.