PASUKAN yang baharu ditubuhkan, Melaka FC sudah pun membuat pembayaran gaji pertama buat para pemainnya ketika mereka selesai menandatangani kontrak untuk bersama pasukan beraksi dalam Liga M3 musim ini.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad ketika ditemui di Majlis Sukan Negara yang turut menyatakan bahawa Melaka FC bakal dibarisi oleh 12 orang anak jati Melaka.
Nur Azmi turut menegaskan bahawa pasukan yang dibentuknya ini adalah entiti yang berbeza dan tidak ada kaitan dengan kelab bola sepak bermasalah, Melaka United FC yang masih dibelenggu masalah hutang hingga tidak dibenarkan beraksi di Liga Super 2023.
“Melaka FC akan bermain dalam saingan Liga M3 musim ini. Kita lebih selesa untuk bermula dari bawah dan semua pemain yang menandatangani kontrak untuk beraksi musim ini sudah pun dibayar gaji pertama mereka.
“Skuad ini juga bakal diwakili 12 anak jadi Melaka dan dua pemain yang dapat diselamatkan dari Melaka United FC dengan sasaran untuk kembali ke Liga Super pada musim 2025.
“Pasukan ini adalah entiti yang baharu dengan lesen baharu yang tidak ada kaitan dengan pasukan Melaka United FC dan saya sudah membelanjakan sekitar RM35,000 untuk menyelesaikan proses pendaftaran pasukan di Amateur Football League (AFL),” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.
Nur Azmi perlu menjelaskan perkara ini kerana terdapat beberapa suara yang tidak berpuas hati dengan penglibatan Melaka FC di Liga M3 selepas pasukan Melaka United FC gagal membayar gaji pemain selama enam bulan yang mengakibatkan mereka digantung.
Dia turut menjemput mana-mana badan korporat yang berminat untuk menjadi penaja selain mengajak rakyat Melaka untuk memberikan sokongan penuh kepada skuad yang bakal membawa nama Melaka ini.
Skuad Melaka FC dan barisan pemainnya bakal diperkenalkan di satu majlis pada 9 Februari 2023 dengan Stadium Hang Tuah di Bandar Raya Melaka bakal menjadi gelanggang rasmi.