PEMAIN muda berbakat Kedah, Mohammad Hafiy Hamdan, 17 tahun bakal terbang ke bumi Madrid, Sepanyol pada Isnin ini.
Menurut perkongsian di Facebook Kedah Darul Aman FC, berlangsung sesi santai bersama Hijau Kuning FC, Rakan Rasmi Akademi Bola Sepak Belia KDA FC di House of Sang Kenari.
“Kerjasama dengan La Liga sebelum ini membuka peluang untuk membawa pemain berbakat meninjau peluang di akademi lebih berstruktur di sana seterusnya menimba pengalaman berguna untuk mengasah bakat pemain tersebut.
“Delegasi Hijau Kuning FC akan ke Madrid bagi membiasakan keadaan di sana selama seminggu dan akan menyambung fasa seterusnya selepas Mohamad Hafiy tamat SPM Mac tahun hadapan,” kata kenyataan itu.
Turut hadir, Pengarah Teknikal KDA FC Mosthakeen Omar, Ketua Pembangunan Belia KDA FC Mohd Ridzuan Abdul Rahman, Pengarah Teknikal Hijau Kuning FC Rosli Hussain dan Prof. Madya Ts Dr. Adzrool Idzwan Ismail, dari UUM.
Pihak Hijau Kuning FC juga akan berbincang dengan kelab Granada CF, untuk mendapat tempat latihan buat Hafiy memperkembangkan bakatnya di Eropah.
“Selain program memperkembangkan bakat di sana, Hafiy akan turut ditawarkan pendidikan setaraf bagi melanjutkan pelajaran, pakej lengkap buat pemain muda ini bagi menjamin masa depan yang cerah,” katanya lagi.
Hijau Kuning FC adalah Rakan Rasmi Akademi Bola Sepak Belia KDA FC bagi musim 2022 dan aktiviti yang dianjurkan mendapat penarafan sebagai aktiviti rasmi kelab sepanjang musim.