Foto: IG saobernardo_fc

PEMAIN bola sepak terkenal Brazil, Felipe Diogo maut ditembak ketika bercuti di kampung halamannya, Sao Paulo.

Menurut laporan media Brazil, Diogo,21 pulang ke kampung halamannya di Ribeirao Preto untuk bercuti sebelum terlibat dalam insiden malang itu.

Diogo,21, yang juga bermain di posisi penyerang bagi Sao Bernardo FC dalam Serie C telah ditembak sebanyak 10 das oleh seorang lelaki bersenjata di kawasan jalanan.

Diogo disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Kecemasan Simioni. Pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut dan motif pembunuhannya belum dikenalpasti.

Kelab bola sepak Sao Bernardo yang mengeluarkan kenyataan di media sosial meluahkan rasa dukacita berkenaan pemergian salah seorang ahli pasukan mereka secara mendadak.

Pada masa yang sama, Vila Virginia, sebuah pasukan dari kawasan kediaman Diogo turut menzahirkan rasa kehilangan yang mendalam berkenaan khabar duka ini.

Diogo telah menyertai Sao Bernardo sejak tahun lalu dan membantu pasukannnya mencapai kenaikan pangkat dalam musim pertama. Beliau telah membuat lima penampilan dalam kempen semasa dan secara keseluruhan, beliau telah tampil dalam 18 penampilan mewakilinya kelab itu serta menjaringkan empat gol.