JURULATIH interim Kedah Darul Aman FC, Victor Andrag mengucapkan tahniah kepada pemainnya yang berkorban bagi mengelakkan gawang mereka dibolosi dan gembira dengan aksi pemain muda yang mahu menunjukkan kemampuan mereka walaupun tersingkir dari saingan Piala Malaysia.
Victor juga memberikan kredit kepada penjaga gawangnya, Ifwat Akmal yang cemerlang menafikan empat percubaan berbahaya lawan sekaligus menamatkan rentetan enam kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Selain itu dia juga mengakui ramai pemainnya yang tidak cukup cergas namun tetap memberikan persembahan yang terpuji dan berharap pemain muda Kedah dapat menggunakan pengalaman di Piala Malaysia ini untuk dibawa ke masa hadapan.
Keputusan Masa Penuh
Negeri Sembilan FC 0-0 Kedah Darul Aman FC
Negeri Sembilan menang aggregat 2-1 dan layak ke suku akhir#hobinjanghobin#pulunkedahpulun
Photo : Khairul Akma pic.twitter.com/6913L9F4t1
— Flash Sukan (@FlashSukan) November 1, 2022
“Saya mahu ucapkan tahniah kepada pemain yang berkorban untuk pertahankan gol kami daripada dibolosi. Kami berjaya berikan saingan sengit kepada pasukan tuan rumah dan ada penambahbaikan dalam pasukan dilakukan terutama pemain muda yang bersemangat untuk menunjukkan kemampuan.
“Ifwat sebelum ini selalu dilanda kecederaan dan dia terpaksa berehat lama. Kini dia kembali dengan pemikiran yang lebih baik untuk membuktikan kepada semua dia dapat melakukan tugasnya dengan baik dan kredit harus diberikan kepadanya.
“Tahap kecergasan pemain tidak berada pada tahap terbaik tetapi mami mampu mengharunginya kerana mempunyai kekuatan mental yang baik. Situasi kami adalah ‘nothing to lose’ dan kami bermain secara ‘all out’ untuk mencari gol dan kesungguhan yang ditunjukkan harus diberikan pujian.
“Segalanya adalah tentang pasukan dan bukannya individu. Kami menunjukkan sikap yang baik dan berharap pemain muda ini dapat bawa pengalaman beraksi di Piala Malaysia ke masa hadapan mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu Victor turut menyatakan dia belum menerima tawaran daripada pihak pengurusan berhubung kontrak pada musim hadapan dan jika diberikan kepercayaan dia pasti mahu kekal di Kedah.
Kedah menamatkan saingan Liga Malaysia 2022 dengan nota yang kurang memberangsangkan apabila sekadar di tangga kelapan Liga Super, tersingkir di pusingan kedua Piala FA dan mengakhiri cabaran Piala Malaysia di pusingan 16 terbaik.