PENGENDALI Skuad Wanita Kebangsaan B-18 Tahun, Kok Keng Lin menganggap keadaan para pemainnya yang gemuruh serta lambat untuk ‘settle down‘ adalah antara punca Malaysia tewas 0-2 kepada Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan AFF Wanita B-18 di Palembang.
Malayan Tigress tewas menerusi dua jaringan babak kedua oleh Su Myat Noe pada minit ke-59 dan May Thet Mon Myint sembilan minit sebelum tamat perlawanan untuk bermula dengan langkah kiri.
Malaysia akan menentang Australia dalam perlawanan seterusnya esok dan Keng Lin sudah mempunyai ramuan untuk menyekat kemaraan lawan selepas meneliti perlawanan mereka.
“Pada permulaan permainan pemain kelihatan gemuruh dan gementar. Mereka juga dilihat lambat untuk ‘settle down‘ meskipun berjaya menafikan lawan daripada menjaringkan gol pada babak pertama.
“Saya ada menyaksikan perlawanan Australia bertemu Filipina. Jelas pasukan Australia mempunyai pemain yang baik dari segi taktikal dan teknikal. Kita perlu bertahan dahulu pada peringkat awal dan akan melancarkan serangan balas counter attack ketika bertemu mereka esok,” katanya dalam sidang media secara maya.
Sementara itu pemain pertahanan, Zahirah Athirah Idris tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan mereka terutama pada babak pertama namun banyak perubahan berlaku pada babak kedua.
Zahirah juga mahukan keputusan positif ketika menentang Australia dan menganggap rakan-rakan sepasukan berada dalam keadaan yang harmoni meskipun ada berlaku sedikit pergeseran ketika perlawanan.
“Saya tidak berpuas hati ketika separuh masa pertama kerana kita lebih banyak bertahan akibat serangan berterusan pihak lawan. Pada babak kedua, kami ada melakukan beberapa serangan balas namun nasib tidak menyebelahi kami kerana gagal menjaringkan gol.
“Sasaran kami untuk perlawanan bertemu Australia adalah kami mahukan keputusan positif dan tidak mahu kalah. Semua pemain juga sudah bertenang meskipun ada sedikit pergaduhan di dalam padang namun ianya berakhir di situ sahaja,” kata gadis kelahiran Selangor berusia 17 tahun itu.
Tiada kecederaan serius dilaporkan dan semua pemain berada pada tahap terbaik untuk mengharungi dua lagi baki perlawanan menentang Australia dan Filipina.