PENGENDALI Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz mengakui dia sangat gembira dengan kemenangan pertama Negeri Sembilan FC musim ini selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0.
Dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh itu, skuad Jang mempamerkan aksi luar biasa dengan menekan skuad Tok Gajah untuk memperolehi tiga mata pertama mereka dalam Liga Super.
“Syukur dan gembira atas kemenangan ini dengan pemain memberikan komitmen luar biasa selepas berada dalam tekanan kerana keputusan yang kurang bagus sejak dari permulaan musim.
“Saya masih positif dengan pasukan ini dan kerja keras mereka memberikan kami tiga mata dan ini diharap akan menjadi pemangkin semangat buat para pemain untuk menghapuskan musim ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Azzmi turut gembira dengan aksi Takumi Sasaki yang menjadi nadi pasukan namun dia memuji kerjasama semua pemain yang memberikan aksi terbaik meskipun beraksi pada sebelah petang.
“Takumi sejak hari pertama sangat baik dan bekerja keras serta dia tahu apa yang dia perlu sumbang pasa pasukan. Dia berhak dapat jaringan hari ini tetapi kemenangan ini adalah hasil semua kerjasama pasukan untuk meraih tiga mata,” jelasnya.
Pasukan juga gembira dengan sokongan penyokong di Temerloh dan berharap perkara ini berterusan dalam aksi di tempat sendiri pada perlawanan akan datang.
“Kami gembira dan terima kasih kepada penyokong dan harap lebih ramai sokongan diperlukan di Paroi nanti kerana penyokong perlu tahu pasukan ini baru dibentuk dan perlukan masa untuk menjadi skuad yang mantap,” tambahnya.