PEMAIN perseorangan negara perlu tampil dengan lebih keyakinan, jika mahu menjuarai kumpulan D, saingan Piala Thomas yang sedang berlangsung di Chengdu, China.
Perseorangan utama, Lee Zii Jia menganggap prestasi perseorangan yang diturunkan selepas dua perlawanan, cukup memberangsangkan dan boleh menjanjikan satu keputusan yang baik.
“Sejujurnya untuk melawan Denmark, di bahagian beregu, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani bermain dengan bagus malah Aaron chia dan Soh Wooi Yik pula sangat konsisten.
“Kita lihat semalam (perlawanan pertama) Leong Jun Hao mengejutkan Ng Ka Long, Justin Hoh pula bermain sangat bagus untuk penampilan pertama di Piala Thomas.
“Saya dari tempat duduk belakang lihat dia handle situasi sangat bagus,” kata Zii Jia, mengenai peluang skuad negara berdepan Denmark pada perlawnaan terakhir kumpulan D, esok.
Zii Jia beraksi dalam kedua-dua perlawanan, menentang Hong Kong dan Algeria, belum benar-benar teruji, namun yakin pasukan negara telah menunjukkan kekuatan melebihi jangkaan setakat ini, terutamanya ketika menumbangkan Hong Kong 5-0.
“Pada perlawanan pertama menentang Hong Kong, saya rasa Jun Hao telah buktikan yang dia mampu mengatasi pemain di ranking lebih tinggi, tapi kita perlu ingat bahawa perseorangan Denmark memiliki ranking yang jauh lebih baik.”
Malah, Zii Jia enggan menjadikan prestasi pemain nombor 1 dunia, Viktor Axelsen sepanjang tahun ini, sebagai maklumat tepat untuk dia jadikan sandaran selesa pada perlawanan pertama esok (Selasa).
Menurutnya, meskipun ada pihak menganggap prestasi Axelsen mendatar, Zii Jia yakin pemain utama Denmark itu tidak memerlukan terlalu banyak usaha.
“Walaupun dia seperti bergelut sedikit tahun ini, saya percaya dia tidak perlu lakukan banyak perubahan dalam permainan, kita lihat sesiapa nak kalahkan dia, perlu berada dalam kondisi yang sangat bagus kerana dia sangat berpengalaman, di Olimpik, Piala Thomas dan pelbagai lagi.
“Paling penting adalah persiapan diri saya,” ujar Zii Jia.
Zii Jia beraksi dalam kedua-dua perlawanan menentang Hong Kong dan Algeria, mencapai kemenangan straight set, manakala Axelsen yang turut bermain dalam kedua-dua perlawanan itu juga, terpaksa mengharungi aksi rubber game ketika menewaskan Lee Cheuk Yiu (Hong Kong).
Dengan situasi Malaysia dan Denmark, kedua-duanya sudah menempah tiket ke suku akhir, perebutan juara kumpulan menjadi taruhan.
Selain rekod pertemuan antara pemain, acara berpasukan ini sering melibatkan percaturan taktikal.
Justeru, apakah strategi yang bakal digunakan jurulatih, terutamanya selepas Wooi Yik diturunkan bergandingan dengan Nur Izzuddin ketika menentang Algeria semalam.
Namun, seakan pasti, Zii Jia akan beraksi menentang Denmark, manakala Jun Hao yang direhatkan pada perlawanan kedua semalam, juga menjadi taruhan dan perebutan slot perseorangan terakhir negara akan berlaku antara Justin dan juga Cheam June Wei.