FOTO : Reuters
PEMAIN pertahanan antarabangsa Sepanyol, Pablo Mari antara lima yang ditikam dalam satu insiden di pasaraya di Assago, berhampiran Milan, semalam.
Menurut kenyataan pihak berkuasa di sana, seorang suspek berusia 46 tahun telah ditahan namun belum dapat pastikan motif serangan.
Polis di Carabinieri berkata, insiden terbabit juga mengakibatkan seorang lelaki warga negara Bolivia yang bekerja di situ, berusia 47 tahun terbunuh. Beberapa pekerja lain di pasaraya itu dan empat pelanggan termasuk Mari, mengalami kecederaan dan menurut ejen Mari, pemain terbabit tidak mengalami kecederaan serius.
Mari dipinjamkan ke kelab Itali, Monza oleh Arsenal.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, pihaknya berhubung rapat dengan ejen Pablo Mari dan ejen itu memberitahu pemain pertahanan terbabit kini dirawat di hospital.
“Saya baru dapat tahu. Saya dimaklumkan bahawa pengarah teknikal, Edu sudah menghubungi keluarga Mari dan dia kini di hospital dan dikhabarkan dalam keadaan baik,” kata Arteta, dalam sidang media selepas perlawanan antara pasukannya menentang PSV Eindhoven dalam saingan Liga Europa.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab Serie A, Monza, Adriano Galliani ada memuat naik ciapan di Twitter mengenai insiden terbabit.
“Kepada Pablo, kami semua di sini sangat rapat dengan kamu dan juga keluarga kamu, kami sayangkan kamu, teruskan berjuang kerana anda seorang wira dan pasti akan kembali sihat secepat mungkin,” ciap Galliani.
Our thoughts are with Pablo Mari and the other victims of today's dreadful incident in Italy.
We have been in contact with Pablo’s agent who has told us he’s in hospital and is not seriously hurt.
— Arsenal (@Arsenal) October 27, 2022