KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menegaskan bahawa sebagai seorang pemain bola sepak profesional mereka tidak boleh faham dengan satu sistem sahaja, sebaliknya faham beberapa sistem permainan.
Ini berlaku selepas anak-anak buahnya kelihatan seperti kehilangan fokus ketika bertahan yang membenarkan Bergson menjaringkan gol kedua sekaligus memadam sisa perjuangan TFC.
Dia juga berkata beberapa pemain seperti Adisak Kraison terpaksa dikeluarkan lebih awal kerana tidak bermain seperti yang diharapkan dan tidak membantu pasukan ketika separuh masa pertama.
🏳️🏴 KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN 🏳️🏴
FT [ @OfficialJohor 2-0 @FCTerengganu ]
⚽️ Juan Muniz
⚽️ Bergson#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/qWFc3ZZYoC— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) February 24, 2023
“Saya tidak boleh merungut terlalu banyak terhadap pemain kerana ini adalah kali pertama pasukan saya bermain dengan sistem baru ini dan masalahnya sistem itu berkesan ketika bertahan pada mulanya tetapi apabila Bergson berjaya menjaringkan gol, ia bermakna pemain hilang fokus.
“Pemain tidak sepatutnya membiarkan Bergson keseorangan beberapa meter di depan gol dan tidak ada seorang pun yang mendekatinya dan ini adalah kesilapan individu.
“Pada separuh masa pertama jika anda lihat Adisak sekadar membiarkan sahaja Arif Aiman, Matt Davies dan Juan Muniz mencipta formasi segi tiga dan tidak membantu langsung rakan-rakannya.
“Pada separuh masa kedua kami buat sedikit perubahan dengan memasukkan Syafik Ismail kerana dia ada kelajuan. Beberapa hari yang lalu Adisak juga tidak dapat menyertai latihan pasukan dan hanya turun berlatih semalam selepas mengalami sedikit kecederaan,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Skuad Penyu membuka tirai Liga Super dalam keadaan yang kurang sempurna apabila beberapa tonggak utama seperti Habib Haroon dan Faiz Nasir mengalami kecederaan, manakala Liridon Krasniqi tidak dapat bermain kerana perjanjian pemain pinjaman dengan Harimau Selatan.
Sementara itu, Steinbruckner juga berharap pasukannya akan kembali mempamerkan aksi yang dimahukan apabila menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada Rabu dengan menjangkakan satu lagi aksi sukar.
“Saya jangkakan satu lagi perlawanan yang sukar tetapi Liridon sudah bersedia untuk bermain. Saya harap dia berjaya mencipta sesuatu yang berbahaya kepada pertahanan lawan dan para pemain dapat memperbaiki diri dan bermain seperti yang kami mahukan,” tambahnya.
Terengganu FC tewas 0-2 kepada JDT dalam perebutan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat sekaligus kekalahan pertama dalam Liga Super musim ini.