KEKALAHAN kepada Thailand dalam sukan sepak takraw, acara regu berpasukan semalam bukan di luar jangkaan namun bagi pemain, mereka berazam mahu memenanginya sekali gus memperbaiki pencapaian di Sukan Asia Jakarta-Palembang, lima tahun lalu.
Justeru, kekalahan itu membuatkan pemain terkilan, malah apit kanan Mohamad Azlan Alias memohon maaf kepada rakyat Malaysia dek kekalahan itu.
Pada final regu berpasukan berlangsung di Gimnasium JSC, skuad takraw negara sekali lagi dikecewakan Thailand 2-0 sekali gus membawa pulang pingat perak dan menyamai pencapaian lalu.
“Alhamdullilah kami berjaya masuk ke final. Kami minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami tak dapat bawa balik pingat emas.
“Kita tahu Thailand lebih baik berbanding kita dan mereka memang mensasarkan pingat dalam acara berpasukan.
“Tetapi kami akan cuba buat yang terbaik untuk satu lagi acara,” kata Azlan ketika ditemui selepas acara final, semalam.
Sebagai rekod, Thailand meneruskan dominasi dalam acara berpasukan lelaki di Sukan Asia dengan pingat emas ini adalah emas ketujuh berturut-turut dimenangi mereka dalam temasya terbabit bermula 1998 di Bangkok.
Sementara itu, bagi ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun, Thailand baik dalam segenap aspek terutamanya pada regu pertama.
“Apa yang membezakan regu pertama kita dengan Thailand, adalah pengalaman.
“Pengalaman yang ada pada pemain Thailand membolehkan mereka tenang dan menang tanpa melakukan kesilapan mudah,” kata Ahmad Jais.