KESEMUA 26 pemain yang tersenarai dalam senarai akhir ke fasa pemilihan terakhir Piala Asia AFC B-17 2023 di Bangkok kelihatan yakin dan bersemangat ketika melaporkan diri ke kem latihan pusat di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang pada Ahad.
Kem latihan pusat dan pemilihan Fasa Akhir ini bermula dari Ahad, 21 Mei 2023 hingga 12 Jun 2023 sebagai persiapan menjelang Piala Asia B-17 2023 dari 15 Jun hingga 2 Julai 2023 dengan Ketua Jurulatih, Osmera Omaro berkata para pemain masih berpeluang untuk menyelitkan diri ke dalam senarai 23 pemain terakhir.
“Kesemua 26 pemain telah melaporkan diri dan mereka nampak bersemangat dan penuh keyakinan. Mereka semua perlu berusaha keras kerana semua pemain masih berpeluang untuk menyelitkan nama mereka dalam senarai 23 pemain yang bakal membawa nama Malaysia di Bangkok, Thailand.
“Untuk permulaan ini kita akan jalankan sesi latihan di Gambang sebelum menghadapi latihan terakhir di Wisma FAM dengan beberapa perlawanan antarabangsa dijadualkan bermula 1 Jun nanti dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan lawan, jadual dan venue,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Bagi saingan pusingan akhir itu nanti, Malaysia yang telah diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen bertemu Yemen di Stadium Thammasat 15 Jun 2023 diikuti aksi kedua berdepan tuan rumah, Thailand di Stadium Pathum Thani (18 Jun) dan aksi terakhir menentang Laos juga di Stadium Thammasat pada 21 Jun 2023.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir dengan empat pasukan terbaik iaitu empat pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Asia B17 2023 ini akan layak ke Piala Dunia B17 2023 yang dijadual berlangsung pada November 2023.