PEMAIN skuasy negara perlu lebih konsisten dari fizikal dan mental, untuk mencapai kejayaan lebih tinggi seperti pernah diraih ratu negara, Datuk Nicol David.

Naib Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Sharon Wee berkata, dua aspek itu amat penting sekiranya pemain muda negara mahu berjaya di pentas antarabangsa yang penuh cabaran.

Tanpa perlu berbicara mengenai pesaing dasri seluruh dunia, menghadapi saingan daripada pemain Mesir sahaja sudah cukup memberi kesukaran, terutamanya pemain negara yang berada di ranking lebih rendah sering bertemu pemain negara Afrika itu di pusingan awal.

Ramai pemain skuasy mempunyai ketahanan fizikal dan mental, tapi yang diperlukan adalah ketahanan fizikal dan mental yang konsisten untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa. – Naib Presiden SRAM Sharon Wee.

“Dalam mana-mana kejohanan, kita tidak dapat elak bahawa pemain di ranking rendah akan bertemu pemain ranking teratas di pusingan awal kejohanan.

“Saya beri contoh di Terbuka British yang berprestij, tidak dapat pemain kita mengelak daripada bertemu pemain pilihan di awal pusingan dasn kebanyakan pemain ranking tertinggi dunia adalah dari Mesir.

“Dengan saiz gelanggang lebih besar, pukulan-pukulan tidak dijangka, pemain sekarang hendaklah meningkatkan kemampuan fizikal dan mental.

“Memang tidak sukar untuk seseorang pemain itu cergas dari segi fizikal, tetapi kita mahu mereka secara konsisten cergas fizikal, cergas mental pada setiap perlawanan, inilah yang agak sukar dilakukan,” kata Sharon, mengulas mengenai prestasi pemain skuasy negara dan perkembangan skuasy dunia.

Katanya, dominasi pemain Mesir sememang dijangka kerana mereka mempunyai program dan bakat yang besar.

Kedudukan terkini ranking skuasy dunia (lelaki).

Kedudukan terkini ranking skuasy dunia (wanita).

“Kelebihan Mesir ini adalah mereka terdedah dengan permainan skuasy sejak kecil lagi dan mereka bermain di bawah payung kelab. Di Kaherah sahaja terdapat kira-kira 30 kelab dan setiap kelab mempunyai 200 hingga 300 pemain junior.

“Sudah tentu mereka didedahkan dengan persaingan sengit sejak kecil dan akan ada pemain yang terbaik dalam kalangan banyak bakat yang bagus.

“Justeru, apabila mereka mencecah usia 18 atau 19 tahun mereka tidak hiraukan siapa pesaing mereka kerana mereka sudah berada di tahap kompetitif tinggi sejak kecil lagi, itulah yang membuatkan mereka menguasai dunia,” katanya.

Begitupun, Sharon berkata, tiada yang mustahil kerana ketika ini pemain lelaki nombor satu dunia datang dari Peru, iaitu Diego Elias.

Ainaa Amani Ampandi sudah meraih dua gelaran PSA.

“Ini bermakna ada pemain yang boleh memecah monopoli Mesir dan sesiapa pun mampu melakukannya dengan mempunyai ketahanan fizikal dan ketahanan mental yang konsisten dalam se tiap perlawanan,” kata Sharon.

Meskipun Diego menghuni ranking nombor satu dunia ketika ini, dibelakangnya adalah bekas pemain Mesir yang kini mewakili England, Mohamed Elshorbagy di ranking kedua dunia, diikuti barisan pemain MesirMostafa Asal (3), Ali Farag (4), Marwan Elshorbagy (6), dan Tarek Momen (7).

Manakala ranking tiga teratas wanita dunia ketika ini dimonopoli Mesir menerusi Nouran Gohar (1), Nour El Sherbini (2) dan Hania El Hammamy (3).

“Tapi kita juga mempunyai pemain yang bagus seperti S Sivasangari, Ainaa Amani Ampandi, Addeen Idrakie dan Ivan Yuen.

“Malah Ainaa sudah memenangi gelaran kedua PSA tahun ini selepas menjuarai Hong Kong Challenge Cup dan Vikram Goyal Open di India, awal bulan ini,” katanya.