JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kecemerlangan dalam kempen pramusim di Alicante, Sepanyol dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas membelasah Club Costa City 7-0 di Stadium Olimpik Camilo Cano pada Isnin.

Tambah menarik, ketujuh-tujuh gol Harimau Selatan dijaringkan oleh pemain tempatan dengan Ramadhan Saifullah menjaringkan hatrik serta dua pemain dari Akademi JDT berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring.

Ramadhan berjaya melakukan hatrik menerusi tiga jaringan pada minit keenam, 65 dan 73 manakala G.Pavithran dan Gabriel Nistelrooy masing-masing membuka akaun jaringan bersama skuad senior dengan Nazmi Faiz menambah satu lagi gol untuk kemenangan besar Harimau Selatan.

Ramadhan ledak hatrik di Sepanyol

Sejak berada di Sepanyol, JDT sudah mencatat tiga kemenangan dan menjaringkan 13 gol dengan gawang mereka hanya dibolosi sekali sekaligus menggambarkan kekuatan Harimau Selatan musim ini.

JDT yang dalam rangka pramusim menjelang permulaan musim baharu Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 mengadakan tujuh perlawanan persahabatan antarabangsa dengan pelbagai kelab bagi memastikan mereka dapat membentuk skuad idaman.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio dilihat bijak melakukan penggiliran pemain dengan memberi peluang kesemua 34 pemain yang dibawa ke Sepanyol untuk beraksi dan menimba pengalaman terutama pemain-pemain muda.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio

Kempen pramusim di Sepanyol akan diteruskan dengan beberapa lagi sesi latihan serta empat perlawanan persahabatan bakal berlangsung sebelum pulang ke Iskandar Puteri untuk bertemu Selangor FC dalam perlawanan pembukaan Piala Sumbangsih pada 10 Mei 2024.