KETIKA Kanada menyerlah dalam perlawanan yang dimenangi Belgium, satu lagi kebingungan menyelubungi apabila Kevin De Bruyne dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Malah bintang Belgium itu sendiri tertanya-tanya bagaimana dia boleh dipilih memenangi anugerah itu.

De Bruyne bergelut dalam perlawanan itu dan dilihat kecewa ketika Belgium menang tipis 1-0 hasil gol Michy Batshuayi di babak pertama.

“Saya tak rasa saya bermain dengan hebat. Saya tidak tahu kenapa saya dapat trofi. Mungkin kerana nama,” kata pemain tengah Manchester City itu.

Stephen Eustaquio mencabar Kevin De Bruyne dalam aksi Begium menentang Kanada di Piala Dunia 2022.

 

“Kami tidak bermain cukup baik sebagai sebuah pasukan, kami tidak menemui penyelesaian dan kami bermula sangat teruk.

“Apabila kami mengawal tekanan mereka di babak kedua, ada lebih ruang tetapi saya tidak rasa kami bermain baik hari ini, termasuk saya, tapi sekurang-kurangnya kami menang,” katanya.

Kanada mensia-siakan beberapa peluang termasuk penalti Alphonso Davies pada aksi pertama Piala Dunia mereka sejak 1986.

Selepas ini, Belgium akan menentang Maghribi pada Ahad manakala Kanada bertemu naib juara 2018, Croatia. – AFP