JANGAN terlalu mudah memberikan slot automatik kepada pemain warisan yang berpangkalan di luar negara, untuk diserap masuk ke dalam skuad Harimau Malaya, sebelum membuktikan keupayaan dan melepasi tahap kelayakan yang sepatutnya.

Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh tergesa-gesa menawarkan slot ke dalam skuad kebangsaan, sebaik mengetahui ada pemain di luar negara yang dikategorikan sebagai pemain warisan.

Mats Deijl berdarah kacukan Malaysia-Belanda kini beraksi dalam Liga Eredivisie Belanda bersama pasukan Go Ahead Eagles yang menghuni kedudukan ke-13 liga. 

Menurut Dollah, persepsi masyarakat yang terlalu memandang tinggi pemain yang beraksi di luar negara juga, perlu diubah kerana tidak semuanya beraksi dengan pasukan yang berkualiti.

“Ini masalah dia (kalau kita panggil lebih ramai tonggak warisan). Pemain-pemain ini main di luar dan masyarakat pandang tinggi.

“Tapi, jangan sebab bermain di luar, kita mengesan mereka dan memanggil mereka buta-buta tanpa sebab malah tidak memberi impak kepada pasukan buat apa.

Datuk Dollah Salleh mahu pemilihan pemain termasuk warisan ke dalam skuad Harimau Malaya melalui kelayakan yang sama, agar tidak membunuh semangat pemain tempatan.

“Kita tidak tahu mereka beraksi di liga divisyen berapa dan ada dalam kalangan mereka main pasukan kampung  sahaja.

“Kalau nak panggil mereka kerana layak dan bagus (untuk membantu pasukan kebangsaan), kenapa tidak?

“Namun, kalau mereka tidak dapat memberi impak, buat apa (panggil)? Jangan sebabkan (status) beraksi di luar (negara sahaja,” katanya, ketika ditemui di Majlis Konvoi Jiwa Merdeka menerusi kerjasama program Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), semalam.

Beberapa hari lalu, media memetik Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang dilaporkan sedang menguruskan tonggak kacukan untuk dibawa masuk ke Harimau Malaya.

Barisan pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bagi menghadapi saingan Pestabola Merdeka.

Pemain yang dikatakan gred ‘A’ berdarah kacukan Malaysia-Belanda, Mats Deijl itu seakan pasti menyertai skuad kebangsaan, dan pemain terbabit juga sudah menghubungi pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.

Pemain terbabit berusia 27 tahun dilaporkan bermain dengan kelab utama Liga Belanda, dalam saingan Eredivisie, mewakili pasukan Go Ahead Eagles.

Pemain itu dikategorikan gred ‘A’ seperti Dion Cool dan dijangka mampu bergabung memperkuat pertahanan negara.

Selain dua pemain kacukan itu, kem kebangsaan kini mempunyai lima pemain warisan seperti Matthew Davies, Corbin Ong, Nooa Laine, Daniel Ting dan Darren Lok.