ANTALYA, Turkeye bakal menjadi penentu nasib empat pemanah lelaki negara yang menaruh harapan menggunung, melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai dan Ogos depan.

Antalya yang menganjurkan Kejohanan Kelayakan Akhir Memanah Berpasukan dan Individu bagi Paris 2024, akan membuka tirai saingan selama dua hari, pada 15 dan 16 Jun.

Kuartert pemanah negara yang terdiri daripada Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli, Muhammad Syafiq Busthamin, Muhammad Danish Amsyar Norazlan dan Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi, tetap gigih menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai, meskipun sedar cabaran yang bakal dihadapi mereka amat getir.

Pemanah paling berpengalaman, Zarif Syahiir berkata, peluang masih terbuka terutamanya bagi mendapatkan slot recorve berpasukan lelaki.

Menurutnya, dalam acara berpasukan, pemanah perlu mempunyai keserasian dan kerjasama yang baik dan itulah cabaran perlu ditanganinya, ketika dia hanya biasa bersama Firdaus ketika menyertai Sukan Sea di Hanoi, 2021.

Ketiga-tiga pemanah lain boleh dianggap baharu, tetapi saya pernah bersama dengan Firdaus di Sukan Sea Hanoi.

“Setiap kali berlatih, saya sentiasa berbincang dengan jurulatih, bagaimana dan apa tindakan diperlukan, begitu juga setiap kali kami mahu ke kejohanan.

“Setiap kekurangan dalam pasukan baik dari segi individu kami akan berbincang bersama jurulatih,” kata Zarif Syahiir.

Zarif Syahiir

Menurutnya, sebelum ke Antalya, mereka akan mengambil bahagian pada dua Piala Dunia iaitu Stage 1 di Shanghai, China, pada 23 hingga 28 April, Stage 2 di Yecheon, Korea Selatan pada 21-26 Mei sebelum ke Stage 3 di Antalya, yang menjadi pusingan kelayakan ke Olimpik Paris.

“Di China dan Korea menjadi pemanas badan dan kami perlu berada di kedudukan pingat, nombor 1, 2 atau tiga di Antalya untuk melayakkan pasukan ke Paris.

“Di Antalya, peluang bagi acara berpasukan lebih cerah berbanding individu, jadi kami perlu melakukan persiapan sebaiknya,” ujar Zarif Syahiir lagi, yang sudah menjalani latihan bersama tiga rakan sepasukannya sejak tahun lalu.

Ariana Nur Dania Mohd Zairi satu-satunya pemanah negara yang sudah layak ke Paris.

Zarif Syahiir, 25, kini berada di ranking 161 recurve individu lelaki, Firdaus, 21, (209); Syafiq, 19, (197); dan Danish, 16, (368).

Untuk rekod, ketika ini hanya seorang pemanah negara melayakkan diri ke Paris 2024, iaitu pemanah recurve wanita, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, yang meraih slot pada pusingan kelayakan benua Asia di Bangkok, Thailand, November tahun lalu.