PEMANGKU Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Abdullah Sani Abdul Hamid mengakui dia sememangnya mempunyai senjata api dan membawanya ke mana sahaja kerana mempunyai lesen ke atasnya.

Abdullah yang juga bekas Ahli Parlimen Kapar menjelaskan perkara itu menerusi akaun X peribadinya selepas tular di laman sosial video yang memperlihatkan dia membawa senjata api ketika sidang media berkaitan Kongres Pemilihan KLFA pada Selasa.

“Sebagai pemegang lesen senjata api sejak 2012 dan memiliki senjata api, senjata tersebut tidak boleh ditinggal disembarangan tempat dan hendaklah sentiasa berada dalam jagaan saya. Jadi bukan hanya stadium, saya bawa ke mana sahaja saya pergi,” jelasnya.

 

Perkara ini menambah lagi kemelut yang sedang melanda persatuan itu selepas kongres itu dilihat kini terpaksa ditangguhkan kerana keputusan kabinet yang melarang mana-mana ahlinya bertanding dalam persatuan sukan.

Ini selepas dua ahli kabinet, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Fahmi Fadzil menyatakan hasrat untuk bertanding merebut jawatan Presiden KLFA dan kini ianya tidak menjadi kenyataan dan Abdullah Sani akan terus memangku jawatan itu buat sementara waktu.

Abdullah Sani bersama-sama pucuk pimpinan KLFA telah berjaya membawa kelab Ibu Kota itu memperolehi beberapa kejayaan besar sejak lima tahun ini termasuk menjuarai Piala Malaysia 2021 dan finalis Piala AFC 2022 serta finalis Piala FA 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerusi Presiden KLFA: “Saya nak bertanding, lebih ramai lebih baik” – Megat Shahriman

Dalam perkembangan yang sama, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman masih menyatakan minat untuk bertanding dalam pemilihan KLFA yang kini dilihat semakin terbuka selepas penarikan diri dua ahli kabinet itu.