KONTINJEN negeri Johor ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak mendapat tonik tambahan apabila menerima kunjungan hormat daripada Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail.

Tunku Ismail meluangkan masa untuk bersama-sama dengan semua atlet yang bertanding dan dia memberikan kata-kata semangat bagi memastikan Johor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan dalam temasya dwi tahunan itu.

Johor sebelum ini mencipta sejarah ketika Sukma 2022 selepas muncul juara keseluruhan buat pertama kali dalam sejarah dengan 70 emas dan sudah pasti mereka cuba untuk mempertahankan kejuaraan itu.

Tunku Ismail memberikan kata-kata semangat kepada Kontinjen Sukma Johor

Tunku Ismail turut berpesan agar para atlet menjaga diri masing-masing selain menjaga nama baik negeri selain mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam membawa bendera negeri ke podium tertinggi.

“Dalam pertandingan, tunjuk sikap profesional. Kita ini berbeza. Apabila di sana nanti, biarlah kita bawa cara Johor. Benda itu yang kena terap dalam diri kita. Doa saya sentiasa dengan awak semua. Semoga berjaya,” titahnya ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Kontinjen SUKMA Johor 2024 di Johor Bahru.

Sukan sememangnya telah menjadi satu medium penyatuan Bangsa Johor dan ini telah dibuktikan sejak lahirnya kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menghadirkan banyak kejayaan membanggakan buat negeri itu.

Pemangku Sultan Johor juga sentiasa mengambil berat tentang perkembangan sukan, bukan sahaja bola sepak, malah semua aktiviti melibatkan generasi muda di negeri ini dan dia juga gemar meluangkan masa bersemuka bagi bertanyakan perkembangan terkini berkaitan sesuatu perkara.

Untuk edisi ke-23 ini, Kontinjen Johor terbentuk dari 599 atlet serta 188 pegawai dan jurulatih yang akan mengambil bahagian dalam 37 sukan dengan sasaran 34 pingat emas.