STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal menggunakan rumput baharu jenis hibrid, selepas Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, perkenan memberi rumput baharu kepada gelanggang keramat Harimau Malaya itu.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan berkata, Tunku Mahkota mahu padang SNBJ memiliki rumput yang berdaya tahan.

“Atas kurnia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, PSM menyatakan iltizam untuk terus komited bagi menguruskan sebuah padang pelbagai guna yang berdaya tahan dan fleksibel untuk acara sukan dan bukan sukan.

Kenyataan media dari Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengenai kurniaan rumput hibrid bakal menggantikan Zeon Zoysia di SNBJ.

“Seperti titah Baginda, rumput Zeon Zoysia yang dikurnia kepada SNBJ sebelum ini, akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN), KL Sports City,” ujar PSM dalam kenyataan yang diedarkan kepada media.

Justeru, PSM berterima kasih atas pertimbangan Tunku Mahkota dalam menasihati PSM mendepani cabaran mendatang: “PSM akan berkerja rapat dengan pihak pengurusan Stadium Larkin dalam rangka menerima rumput hibrid ini.”

Penggunaan rumput hibrid diyakini lebih tahan lasak untuk digunakan pada stadium yang menganjurkan acara sukan dan bukan sukan.

Pada Ogos tahun lalu, rumput jenis Zeon Zoysia mula melalui proses penanaman di SNBJ, menggantikan rumput jenis Cowgrass, bagi memastikan penganjuran Pesta Bola Merdeka memulakan kempen dengan rumput baharu itu.

Penggantian rumput tersebut menelan kos berjumlah RM2.3 juta yang ditaja Tengku Mahkota Johor (TMJ) sebagai sumbangan kepada bola sepak Malaysia.

Selepas penanaman Zeon Zoysia, SNBJ menjadi stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis itu selepas Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno dan Stadium Sultan Ibrahim.