KETUA Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, memberitahu bahawa Nidzam Jamil sedang meneliti calon pembantu jurulatih terbaik dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Perubahan dalam staf kejurulatihan pasukan akan berlaku selepas pengendali asal Kajang itu dilantik secara rasmi sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC.

“Mungkin dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini akan ada beberapa muka baharu di kalangan staf kejurulatihan manakala untuk pemain pula kami sudah lengkap persiapannya,” katanya kepada media dalam satu program di Gombak.

Pemain Selangor FC meluangkan masa bersama anak-anak yatim untuk Program Ziarah Ramadan 2024 di Gombak.

Dr. Johan menjelaskan bahawa pelantikan Nidzam Jamil sebagai pengendali baharu dibuat secara sebulat suara dan tidak tergesa-gesa. Ini menunjukkan keyakinan penuh daripada pihak pengurusan terhadap kemampuan Nidzam untuk membawa pasukan ke hadapan.

“Di pihak pengurusan kami telah banyak berbincang dan juga menilai calon-calon jurulatih yang lain, kami sebulat suara memilih coach Nidzam sebab kami percaya dan yakin dengan kemampuannya sebagai jurulatih pasukan Selangor FC.

“Beliau telah lama bersama pasukan ini, hampir tiga tahun dan beliau memahami hala tuju dan budaya kelab ini.

“Coach Nidzam juga mengenali para pemainnya dan tahu macam mana nak dapatkan prestasi yang terbaik daripada pemainnya dan kita juga percaya yang Nidzam mampu membawa Selangor ke peringkat yang lebih tinggi,” tambahnya lagi.

Nidzam Jamil mempunyai kelebihan tersendiri berbanding calon-calon jurulatih lain.

Menurutnya lagi, setiap calon jurulatih mempunyai kekuatan tersendiri, tetapi Nidzam Jamil mempunyai kelebihan yang unik.

Setiap calon ada kekuatan masing-masing tetapi antara cabaran untuk jurulatih lain ialah kerana pasukan sedia ada pada tahun ini sudah siap.

“Jadi banyak calon jurulatih yang tak ada peluang untuk membawa masuk pemain sendiri dan itu antara sebab utama mengapa jurulatih lain tidak dipilih.

“Berbeza pula untuk Nidzam Jamil kerana beliau sendiri terlibat dalam pemilihan pemain, beliau sendiri yang develop pemain ini selama tiga tahun lepas dan pemain-pemain membalas dengan sangat baik dengan Coach Nidzam,” ujarnya lagi.

Menilai daripada semua aspek ini, Nidzam Jamil dilihat sebagai calon paling sesuai kerana kelebihan yang beliau ada berbanding calon-calon jurulatih lain.

“Kita tak nak ambil risiko mengambil jurulatih baharu kerana ia memerlukan adaptation yang akan mengambil masa yang lama.

“Tahun ini merupakan tahun yang sangat penting buat kelab, kita tak boleh ada masa untuk kita bereksperimen ataupun masa untuk cari rentak.

“Kita tak nak ambil risiko itu jadi kita yakin Nidzam akan meneruskan apa yang coach Tan dah buat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.