PEMBATALAN beberapa kejohanan dalam kalendar BWF menyaksikan peluang sukar untuk beregu utama wanita negara Pearly Tan-M Tinaah melayakkan diri ke Saingan Akhir Jelajah Dunia yang dijangka berlangsung di Guangzhou, China.

Dengan tempoh kira-kira dua bulan sahaja yang tinggal, sukar mana-mana pemain memungut sebanyak mungkin mata bagi menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik Jelajah Dunia.

Ditambah dengan keadaan Pearly yang belum pulih sepenuhnya, tiada sasaran khusus ditetapkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Manaiky.

Semalam BWF mengemaskini kalendar kejohanan menyaksikan beberapa kejohanan Super dibatalkan.

Kejohaan dibatalkan termasuk Terbuka Amerika Syarikat (4-8 Oktober), Terbuka Macau (1-6 November), Terbuka Hong Kong (8-13 November), Terbuka New Zealand (22-27 November), Terbuka China (29 November- 4 Disember), dan Terbuka Fuzhou China (6-11 Disember).

Tinaah mengakui sukar untuk dia dan Pearly memungut sebanyak mungkin mata bagi membolehkan mereka layak ke Saingan Akhir jelajah Dunia itu.

“Setiap kejohanan amat penting untuk kami, tapi kesihatan dan prestasi kami terutamanya Pearly lebih penting untuk kami ‘comeback’,” kata Tinaah.

Sementara itu, Pearly pula tidak kisah jika terpaksa menarik diri dari mana-mana kejohanan, dalam usaha dia mendapatkan semula tahap prestasi terbaik.

Ketika ini, gandingan terbabit berada di ranking ke-11 Jelajah Dunia, dan hanya lapan pemain teratas setiap kategori layak beraksi di kejohanan yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 14-18 Disember itu.

Menurut Pearly, dia belum menjalani latihan bersama Tinaah.

“Sepanjang minggu ini, saya mula jalani latihan gelanggang bersendirian untuk meningkatkan tahap kecergasan,” kata Pearly.

Sementara itu, Rexy berkata, keputusan sama ada gandingan terbabit beraksi di Terbuka Denmark atau sebaliknya, bergantung kepada prestasi semas Pearly, yang akan diputuskan minggu depan.

“Saya perlu tetapkan sasaran untuk mereka di Denmark, tapi mustahil untuk tetapkan mereka juara.

“Saya nak mereka lepasi satu persatu lawan di setiap pusingan kerana lawan mereka juga tidak mudah.

“Sudah hampir empat minggu selepas Terbuka Jepun, intensiti strok dia berbeza, belum ada keyakinan. Kita akan lihat prestasinya di Denmark, jika fizikalnya bertambah baik dan sedia untuk bermain di tiga kejohanan berturut-turut, Pearly-Tinaah akan turut beraksi di Terbuka Jerman,” kata Rexy.

Pearly mengalami kecederaan hamstring kanan ada Terbuka Jepun, terpaksa menarik diri di peringkat separuh akhir.

Sebelum ini, dia diberitakan mengalami kecederaan ACL namun selepas ujian imbasan dilakukan mendapati, pemain itu hanya mengalami hamstring dan tendon lutut kiri.