PEMAIN tengah kebangsaan, Mukhairi Ajmal tidak menganggap berita pembatalan penyertaan pasukan Palestin ke Pestabola Merdeka sebagai gangguan buat dia dan para pemain sebaliknya hanya perlu kekal fokus mengikut arahan yang ditetapkan oleh ketua jurulatih.
Penyertaan Palestin di Pestabola Merdeka menjadi tanda tanya apabila negara itu kembali berperang dengan Israel yang menyebabkan sempadan negara itu ditutup dan berkemungkinan mereka tidak dapat meninggalkan negara untuk ke Malaysia.
“Sebagai pemain kita bersedia walau apa yang berlaku dan ianya tidak mengganggu mental kami kerana Kim Pan-gon hanya akan fokus dari satu permainan ke satu permainan sahaja,” katanya ketika ditemui di sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Ajmal juga turut mengakui dia berasa bangga dan gembira kerana terlibat dalam dua pasukan kebangsaan yang layak ke Piala Asia tahun hadapan tetapi fokusnya sekarang hanya mahu membuktikan kemampuan dirinya kepada barisan kejurulatihan.
“Sesi latihan berjalan dengan baik dan kami dapat adaptasi dengan intensiti yang dikehendaki kerana dalam pasukan ini, semua pemain adalah berkualiti dan sentiasa menyokong satu sama lain.
“Saya rasa bangga kedua-dua pasukan layak ke Piala Asia dan saya bertuah dapat bermain dalam kedua-dua pasukan. Atas sebab itu, saya perlu menjaga pemakanan, pola tidur kerana ini membantu saya untuk kekalkan kecergasan,” katanya.
Dia juga mengimbau kenangan menonton Pestabola Merdeka di televisyen ketika kecil dan kini sudah tidak sabar untuk menjulang piala ini yang juga piala pertamanya bersama skuad senior kebangsaan.
“Saya ingat ketika edisi di Kuantan ketika kita muncul juara dan saya tonton di televisyen. Saya perasan Junior Eldstal, Thamil Arasu dan Rozaimi Rahman sebagai pemain dan kini Junior dalam satu pasukan dengan saya dan dia banyak beri motivasi kepada rakan-rakan sepasukan.
“Sasaran peribadi, saya harap dapat julang piala dan ini kali pertama saya dengan skuad senior kebangsaan dan menambah semangat kami semua adalah apabila kita beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan padang yang baharu,” jelasnya.
Mukhairi juga menjelaskan dia sememangnya mahu beraksi di Piala Asia tahun hadapan dan mahu menjadikan Pestabola Merdeka ini sebagai tempat untuk membuktikan kemampuannya dan terpulang kepada jurulatih sama ada mahu meletakkannya dalam senarai akhir.