PEMBUBARAN Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) tidak sah, kerana belum melaksanakan mesyuarat agung badan itu.
Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) mendakwa terkejut dengan pengumuman pembubaran itu yang dianggap tidak mengikut lunas perlembagaan badan terbabit.
Setiausaha Agung Istaf, Datuk Halim Kader berkata, pengumuman yang dilakukan presiden Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman haruslah bersandarkan kepada perlembagaan Mastaf Fasal 45 (45.1, 45.2 dan 45.3).
“Mengikut Fasal 45.1, Mastaf ini boleh dibubarkan dalam Mesyuarat Agung yang khusus untuk tujuan ini dan dengan keputusan oleh 2/3 daripada ahli yang layak mengundi,” kata Halim dalam satu surat yang dihantarkan kepada Suhaili.
Selasa lalu Mastaf yang disertai bersama empat negeri ahli mengumumkan perkara berkenaan yang dibuat secara lintas langsung oleh pihak Astro pada jam 8 malam.
“Fasal 45.2 pula, sekiranya dibubarkan mengikut Fasal 45.1, maka segala hutang piutang yang sah hendaklah diselesaikan oleh Mastaf. Manakala bakinya sekiranya ada, hendaklah diserahkan kepada Pemegang Amanah Raya.
“Fasal 45.3 pula keputusan pembubaran ini hendaklah disampaikan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dalam tempoh 14 hari dari tarikh pembubaran berkenaan,” kata Halim.
Justeru, beliau menyeru Mastaf mengambil tindakan segera mengadakan mesyuarat agung untuk membubarkan secara sah mengikut lunas perlembagaan badan induk berkenaan agar pihak Istaf dapat mengambil tindakan untuk melepaskan Mastaf dari ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Istaf.
“Istaf perlu mendapatkan satu salinan minit mesyuarat agung pembubaran Mastaf yang tercatat secara sahih di dalamnya, bahawa pembubaran itu dipersetujui oleh 2/3 ahli gabungan yang berhak mengundi.
“Minit mesyuarat agung juga perlu ditandatangani oleh Presiden dan Setiausaha Agung serta individu yang bertindak sebagai pencatat minit mesyuarat,” katanya.
Selasa lalu, Mastaf membuat keputusan mengejut apabila mengadakan mesyuarat tergempar selepas membubarkan penubuhan mereka beberapa jam sebaik sahaja Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) menyertai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).
Keputusan itu dibuat apabila mereka mengadakan perbincangan dalam kalangan empat badan induk negeri yang masih bernaung di bawah mereka iaitu membabitkan Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
ARTIKEL BERKAITAN : PSM kembali sertai ISTAF dan ASTAF