FOTO : Olympic Malaysia

PERJUANGAN kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 kini bermula secara rasmi.

Acara perasmian penuh gilang-gemilang berlangsung di hadapan 30,000 penonton di Stadium Alexander, Perry Barr, awal pagi Jumaat.

Pemain skuasy wanita Aifa Azman dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau mengetuai perarakan masuk kontinjen Malaysia diikuti oleh Chef De Mission, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan timbalannya, Gerard Monteiro.

Mereka berbaju Melayu berbutang lima berwarna putih dan kebaya moden pendek mengambil ilham bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya yang diolah menjadi abstrak dan diberi nafas baru dengan sentuhan ekslusif lukisan batik karya pereka tempatan melambangkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.

Selain itu juga kebaya pendek ala kebaya peranakan diberi suntikan moden dengan berbutang bungkus dan siluet scallop dan dilengkapi dengan selendang organza bersulam melambangkan kepelbagaian budaya dan etnik dalam keluarga Malaysia.

Malaysia menghantar 104 atlet dengan sasaran enam pingat emas iaitu menerusi sukan akuatik, terjun, angkat berat, badminton, gimrama, boling padang dan powerlifting.

Kira-kira 6,500 atlet daripada 72 negara dan wilayah mengambil bahagian pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung sehingga 8 Ogos ini.