TIGA pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, sah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, selepas Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) menerima pemberitahun rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), awal pagi Selasa..

Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh dalam satu kenyataan berkata, UCI secara rasmi mengumumkan kuota perlumbaan trek itu, kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) setiap negara.

Kenyataan media oleh PKBM selepas badan induk berbasikal negara itu menerima pemberitahuan daripada UCI mengenai tiga pelumba trek negara layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kami berbangga dengan komposisi pasukan trek kita di Paris, apabila Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus layak bagi dua acara keirin dan pecut.

“Nurul Izzah juga akan membuat penampilan pertama dan kedua-dua acara di temasya sukan terbesar dunia itu,” ujar Amarjit.

Artikel Berkaitan:

Syawal bermakna buat Nurul Izzah, Olimpik Paris pengganti lemang

Beasley yakin Nurul Izzah ada potensi yang masih dipendam

Tambahnya, di Temasya Paris kali ini, Malaysia akan mempunya empat atlet berbasikal masing-masing tiga di trek dan satu dalam acara jalan raya, selepas Nur Aisyah Zubir muncul pelumba wanita Malaysia pertama layak beraksi di Sukan Olimpik.

Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom kembali bergandingan di Sukan Olimpik.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mempamerkan peningkatan prestasi terutamanya di ACC New Delhi, Februari lalu.

Minggu lalu, Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI, memberitahu bahawa Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah secara tidak rasmi layak ke Paris, berdasarkan kedudukan ranking yang diumumkan UCI, selepas perlumbaan Piala Negara-Negara di Milton, Kanada, namun hari ini, secara rasminya tiga pelumba terbabit mendapat slot secara merit ke Paris.

Katanya, pasukan trek negara sudah merangka program latihan untuk tempoh tiga bulan menjelang Temasya itu, bermula dengan latihan pusat di Veledrom Nilai sebelum beralih ke Eropah, iaitu Belgium, Sepanyol dan England dan akhirnya terus menyertai perlumbaan di Paris yang dijadual pada 6 hingga 11 Ogos.