SOKONGAN terhadap Harimau Malaya tidak seharusnya berkurang meskipun tidak lagi dikendalikan Kim Pan-gon yang meletak jawatan minggu lalu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim berkata, jurulatih datang dan pergi tetapi Harimau Malaya tetap sebuah entiti utama yang perlu disokong.
Katanya, peletakan jawatan seseorang jurulatih itu perkara normal dalam bola sepak dan adalah tidak wajar untuk menyalahkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin atas senario yang berlaku.
“PFA menganggap peletakan jawatan Pan-gon sebagai perkara biasa dalan era bola sepak professional. Melihat pada pengumuman yang dibuat oleh Pan-gon, jurulatih itu jelas meletak jawatan atas keputusan peribadi iaitu dalam erti kata lain bukanlah dari tekanan mana-mana pihak.
“Oleh yang demikian, PFA berpendapat persetujuan bersama telah dipersetujui antara FAM dan Pan-gon, sebab itu tidak ada tuntutan pampasan dari kedua-dua pihak. Sepertimana sedia maklum, jurulatih tersebut masih mempunyai kontrak sehingga Disember 2025,” kata Zamri menerusi kenyataan media, hari ini.
Zamri turut mengajak para penyokong bola sepak negara untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang akan beraksi di Pestabola Merdeka 2024 pada September ini di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente.
“Saya sebagai Presiden PFA mengajak semua peminat dan penyokong bola sepak Malaysia untuk terus memberi sokongan terhadap usaha kepimpinan FAM memacu bola sepak negara.
“Sebagai rekod, usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh Datuk Hamidin selaku Presiden FAM dan barisan exconya selama beberapa tahun ini dalam memastikan ranking bola sepak negara melonjak naik seharusnya dipuji dan diakui kejayaannya.
“Sekali lagi saya menyeru agar semua pihak bersatu dalam memastikan bola sepak kita kembali menggegar persada antarabangsa,” ujar Zamri.