MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh anggap pemergian legenda golf negara, M Ramayah sebagai satu kehilangan besar kepada sukan tanah air.
Ramayah meninggal dunia pada usia 67 tahun, selepas bertarung dengan penyakit kanser.
“Bagi pihak KBS, saya ucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Sebelum ini saya ada melawat ketika mendiang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM… waktu itu beliau masih boleh bercakap.
“Saya percaya Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb), akan membantu menguruskan dana sumbangan orang ramai, sama ada diagih kepada keluarga ataupun memenuhi hasrat mendiang,” kata Hannah, ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian persafahaman (MoU) antara Yakeb, Genting Malaysia dan Akademi Hospitaliti DHS, di Bukit Kiara pada Isnin.
Ramayah yang beraksi di 13 edisi Piala Dunia menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.20 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Terdahulu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika mengesahkan pemergian Ramayah, kelihatan agak terkesan dengan kehilangan tokoh sukan golf itu.
“Ramayah mula bermain golf sejak usianya enam tahun dan sepanjang kerjayanya sebagai pemain, beliau sudah banyak mengharumkan nama negara menerusi kejayaan yang diraihnya. Malah, beliau juga turut menyumbang kepada pembangunan sukan golf di negara ini termasuklah menerusi kerjayanya sebagai jurulatih.
“Jadi, sudah tentu pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat arena sukan negara khususnya sukan golf,” kata Noorul.
Ramayah yang mula bergelar pemain golf profesional pada usia 18 tahun dan pernah dilabel sebagai pemain yang perlu ditewaskan pada era 1976 hingga 1997.
Ramayah disahkan menghidap kanser yang menyebabkan beliau terlantar di katil selain mengalami perubahan fizikal yang drastik.
Noorul berkata, mendiang Ramayah juga menyampaikan hasrat agar wang sumbangan orang ramai ketika beliau terlantar, disalurkan untuk tujuan pembangunan golf, terutamanya kepada anak-anak golongan kurang berkemampuan, yang berhasrat bermain golf.