PEMERGIAN bekas jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan pada Selasa ditangisi rakan-rakan seperjuangan dan kenalan rapat mendiang yang menyifatkan kehilangannya sukar diganti dalam arena bola sepak tempatan.

Ramai rakan dan kenalan rapat Sathianathan serta peminat sukan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya pada Rabu sebelum disemadikan pada 20 Julai di Taman Peringatan Nirvana, Shah Alam.

Antara individu yang berkongsi memori bersama mendiang adalah seorang lagi bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang menyimpan banyak kenangan terutama ketika bermain bola di usia muda dan mendiang dikenali sebagai seorang yang mempunyai semangat yang tinggi untuk mengangkat sukan ini.

E. Elavarasan dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Sathianathan

“Mendiang serius dalam menguruskan tugasnya dan apabila masa lapang, kami kembali normal seperti kawan. Dia seorang yang bertekad dan kita boleh lihat bagaimana beliau melatih pasukan seperti Felda United sebelum ini,” katanya ketika ditemui di majlis penghormatan terakhir kepada mendiang.

Selain Datuk Rajagobal, antara rakan yang turut hadir dan sudi berkongsi memori bersama Flash Sukan adalah pembantu jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan dan bekas penjaga gol negara, Syed Adney Syed Hussein.

Elavarasan berkata, mendiang yang pernah bekerjasama bersama semasa beliau menjadi jurulatih Sarawak United itu mempunyai keperibadian yang sangat dihormatinya selain dia banyak belajar dari Sathianathan yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kejurulatihan.

Syed Adney tidak dapat menahan sebak sebaik mengetahui berita pemergian mendiang

“Dia mempunyai watak yang amat menarik di dalam padang dan kami sering bertemu sebagai lawan kecuali pada tahun 2020 di mana kami bekerja bersama-sama. Dia juga banyak membantu memberi bimbingan serta berpengalaman luas dan seorang yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan teratur,” katanya.

Syed Adney yang juga bekas penjaga gol di bawah kendalian mendiang pula menyifatkan kepercayaan tinggi diletakkan Sathianathan kepadanya menjadi titik tolak kepada kejayaannya dalam sukan bola sepak sehingga ke hari ini.

“Dia mempercayai saya ketika mula-mula saya beraksi dan sekarang saya sudah bergelar jurulatih dan harap dapat curahkan segala ilmu diturunkannya untuk pemain di bawah kendalian saya,” katanya yang kelihatan sugul.

Sathianathan meninggal dunia selepas setahun bertarung dengan penyakit kanser dan dia sememangnya dikenali dengan sikap yang serius dan tegas dalam membimbing pasukan tetapi mesra di luar gelanggang dan perkara ini yang akan membuatkan pemergiannya dirindui.