KEMERIAHAN bola sepak tempatan musim ini sedikit direntap dengan insiden tidak terduga di Stadium Sultan Muhammad IV petang Rabu.

Selepas bertahun-tahun sejak era Tan Sri Annuar Musa ‘mengawal kepala’ gelagat penyokong mereka supaya menjaga disiplin, ‘perangai’ lama kembali pada saingan bertemu Perak FC dalam aksi Liga Premier.

Entah dimana silapnya kedua-dua penyokong yang mungkin berpanas terik di bawah pancaran matahari tidak dapat menahan perasaan keterujaan masing-masing.

Bemula dengan beberapa insiden ketegangan antara pemain dalam padang hingga memaksa permainan diberhentikan seketika oleh pengadil.

Balingan objek dipercayai botol air minuman ke dalam padang jelas kelihatan semasa siaran langsung menerusi Youtube Unifi.

Puncanya bermula apabila penyokong The Red Warriors kelihatan tidak berpuas hati keputusan dibuat pengadil dan tarian oleh Sunday Kolawole Afolabi di penghujung babak kedua juga menjengkelkan para penonton yang berada di stadium.

Ditambah pula dengan segelintir penyokong Perak yang mengejek peminat tuan rumah hingga memaksa campur tangan pihak berkuasa dan mengarahkan mereka memasuki padang sebagai arahan keselamatan.

Kenakalan penyokong pelawat juga mengundang perasaan kurang senang apabila rakaman klip video dapati ada peminat Perak menunjukkan kelakuan kurang sopan termasuk provokasi melampau.

Itu cerita dalam stadium. Luar padang pulak skrip berbeza.

Bas pasukan Perak dilaporkan dipecahkan dengan batu dan juga bas rombongan penyokong The Bos Gaurus.

Sudah tentu ia melibatkan kos kerugian untuk dibaiki oleh pemilik bas.

RETAK.. Cermin bas pasukan Perak dipecahkan penyokong di Kota Bharu.

Mengapa ia berlaku tatkala Liga Malaysia memasuki dimensi baharu selaras arus perubahan dibuat Malaysian Football League (MFL).

Pemikiran penyokong tempatan masih di bawah tempurung. Bukan untuk menyalahkan peminat Kelantan atau Perak tetapi akibat segelintir yang melakukan onar, tak pasal-pasal yang tak ada kena mengena terpalit sama.

Apa tindakan MFL ?

Adakah denda dapat mendidik penyokong. Persatuan pasti pening kepala terpaksa mengeluarkan kantung membayar hukuman yang tidak berada dalam bajet tahunan.

Salah siapa ?

Adakah kegagalan pihak stadium menyediakan jumlah keselamatan mencukupi. Pasti tidak tidak timbul isu. Seperti diketahui walaupun Perak di kedudukan tercorot tetapi imej bola sepak negeri itu cukup besar.

Bertemu pula Kelantan berstatus pendahulu semasa, suasana perlawanan di sebelah petang dan cuaca hangat terik pasti mengundang ‘sesuatu’.

Semoga kejadian bertaraf ‘low class‘ tidak berulang lagi termasuk di gelanggang lain.

Tepuk dada, tanyalah selera…