Oleh: MOHD FARIQ
AWAL Februari ini pengikut bola sepak tempatan dijangka bakal melihat satu anjakan paradigma baharu dalam pemilihan Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Fifa bagi penggal 2023-2027 apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi calon bertanding di Manama, Bahrain nanti.
Mungkin ada segelintir berkata keputusan menang atau kalah masih belum terjawab tetapi bagi penulis keputusan yang diambil oleh Hamidin ini jelas membuktikan kredibiliti dan gagah sebagai pemimpin sukan bola sepak negara.
Justeru penulis cukup optimis bahawa Hamidin yang langsung tidak memikirkan kalah atau menang dalam pemilihan itu nanti, sentiasa komited dan terus berusaha keras untuk membawa suara bola sepak Asia di saluran yang sebenar iaitu di meja persidangan Fifa.
Menyingkap kembali sejarah ahli jawatankuasa eksekutif Fifa dari Malaysia, Naib Presiden FAM, Lee Kee Siong menjadi individu pertama pada tahun 1960 disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah yang menang tanpa tanding di Kongres AFC untuk jawatan tersebut pada tahun 1972 selepas dua calon lain menarik diri dan terbaharu selepas itu adalah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memenangi kerusi tersebut pada Kongres AFC di Bahrain pada 2015.
Jadi, penulis melihat kredibiliti pemimpin sukan bola sepak tanah air dari Malaysia bukan calang-calangnya sekali gus meletakkan posisi Hamidin boleh dikatakan cukup ideal dan seimbang dalam pencalonan kali ini dengan menyaksikan lima hanya terpilih daripada tujuh pencalonan.
Biarpun enam individu lain turut dicalonkan bagi kerusi itu adalah Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al-Thani dan Presiden Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF), Du Zhaocai (China) Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA), Chung Mong Gyu; Presiden Persatuan Bolasepak Filipina, Mariano Araneta dan Presiden Persatuan Bolasepak Arab Saudi, Yasser H Almisehal, penulis percaya tiada apa yang mustahil untuk menyaksikan wakil keempat dari negara bakal terpilih sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Fifa.
Selain mengecapi banyak kejayaan dalam pentas bola sepak Asia Tenggara dan khususnya layak ke Piala Asia 2024, Hamidin yang memiliki hubung diplomatik cukup erat dengan hampir semua rantau bola sepak dunia, sosok yang berasal dari Gombak, Selangor ini sentiasa dikenali sebagai pembawa suara bola sepak Asia di mata negara-negara lain dan penampilan ini membuatnya beliau disegani Presiden Fifa, Gianni Infantino.
Malah penulis difahamkan Hamidin turut meraih sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini telah dikatakan bahawa kerajaan pusat akan memberikan sokongan penuh kepada Hamidin yang telah dicalonkan sebagai salah seorang untuk bertanding jawatan itu.
Ia bukanlah roket sains di mana penulis yakin semua pihak mahu menyaksikan kehadiran Hamidin dalam kepimpinan tertinggi FIFA dijangka dapat terus meningkatkan kualiti selain memberikan beberapa manfaat positif secara keseluruhan bola sepak negara.
Jadi penulis yakin bahawa pendukung bola sepak tanah air berdoa dan mahu menyaksikan Pemenang Ikon Sukan Kepimpinan Anugerah Ikon Sukan (AIS) 2022 ini terpilih sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Fifa.
Mengenali Hamidin, penulis melihat beliau memiliki karakter yang cukup kuat dan mantap dalam kualiti sifat pemimpin, tegas, tidak mengamalkan sistem hedonisme dan nepotisme antara mengapa figura hebat seperti Hamidin sentiasa menjadi satu contoh tauladan bagus kepada pengurusan bola sepak negara.
Maka tidak hairanlah mengapa beliau boleh berjaya di peringkat luar negara dan mungkin tidak keterlaluan juga kita semua mahu menyaksikan Hamidin berjaya mengikuti jejak langkah Kee Siong, Hamzah Abu Samah dan Al-Sultan Abdullah sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi pucuk kepimpinan bola sepak dunia.
Penulis fikir sekiranya kejayaan itu memihak kepada Hamidin adalah wajar sebagaimana beliau telah mengabdikan dirinya kepada bola sepak disebabkan terlalu menyintai sukan sukan bola sepak.
Akhir kata daripada penulis, kalau takut ombak jangan berumah di tepi pantai dan penulis yakin kredibiliti Hamidin sentiasa disegani tidak kira apa jua keputusan yang berlaku pada 1 dan 2 Februari depan.
Demi lencana di dada!