FOTO : KDA FC

PENYOKONG Sang Kenari diseru hadir beramai-ramai membanjiri kembali Stadium Darul Aman yang merupakan ‘sarang’ pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Gesaan itu dicoret oleh Pemilik dan Penaung KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

“Masa sudah sampai lagi untuk Sang Kenari menunjukkan kebijaksanaan dan kemampuan sebenar menentang pasukan pelawat PJ City dan JDT di Stadium Darul Aman.

“Sokongan penuh para penyokong di Stadium Darul Aman pasti menggamit aura kehebatan Sang Kenari. Saya teringat ungkapan Rocky Balboa kepada anaknya.

“Dalam perlawanan (tinju) tidak penting mana berapa teruk kamu ditumbuk, tetapi bagaimana kamu bangun semula selepas jatuh ditumbuk

“Jatuh dan gagal dalam kehidupan adalah biasa. Bangun semula daripada kegagalan adalah luar biasa. Kami perlukan sokongan anda semua. Penyokong Kedah yang luar biasa untuk kami bangkit semula,” kata Mohd Daud.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu kini berada di kedudukan kelima dan meraih 27 mata.

Terdahulu, KDA FC mensasarkan misi menarik kehadiran 10,000 penonton bagi menyaksikan aksi kelab itu di laman sendiri dalam baki saingan Liga Super musim ini bermula menentang PJ City FC, pada 1 Oktober.

Kelab dari utara itu mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini iaitu ketika menentang Penang FC, Melaka United FC dan Selangor FC.