HORMATI guru anda ! Itulah bahasa universal yang seringkali kita dengar dilaungkan tak kira apa jua medan pentas termasuklah permainan bola sepak.
Sikap menghormati dan mendengar cakap jurulatih dituntut sebagai pemain yang berdisiplin sekiranya ingin berjaya dan melangkah sejauh mungkin dalam profesional dan etika diceburi atas dan luar padang.
Tidak terkecuali pemilik majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang menanam mentaliti pemain Sang Kenari agar menjadikan contoh teladan baik untuk semua pihak bagi menjaga keharmonian pasukan.
“Saya berpesan supaya setiap pemain dapat menjaga persahabatan dengan semua pihak. Inilah peluang mempunyai rakan baharu dalam dunia bola sepak dalam membina kerjaya masing-masing.
“Saya juga pesan supaya dengar cakap dan hormat kepada jurulatih.
“Jadilah anda yang lebih baik. Jadilah pasukan yang lebih baik apabila anda selesai di Antalya,” katanya yang mengucapkan selamat jalan kepada skuad Nafuzi Zain yang terbang ke Turkiye bagi menghadapi perlawanan pramusim selama 10 hari di sana.
Kedah akan memulakan aksi Jelajah Turkiye musim ini dengan menentang kelab FC Nasaf dari Uzbekistan di Ekodizayn 1 pada 9 Februari ini dan diikuti kelab dari Kazakhstan iaitu FC Shakhter Karagandy di Limak Sports Center pada 10 Februari.
Sementara dua lagi aksi, membabitkan kelab FK Maktaaral dari Kazakhstan di Limak Sports Center dan kelab dari Ukraine iaitu FC Metalist Kharkiv di Ekodizayn 1 masing-masing pada 12 dan 14 Februari.
ARTIKEL BERKAITAN : Jelajah pramusim 2023 : Perjalanan Sang Kenari ke Turkiye kini bermula
Jelas Mohd Daud, Sang Kenari belum pernah terbang sejauh itu dan kali ini mereka dipaksa terbang meninggalkan zon selesa bagi menghadapai iklim, persekitaran dan pasukan serta rakan-rakan baharu jauh dari sarang di negeri Kedah.
“Saya dapat lihat keterujaan dalam wajah masing-masing. Semuanya ingin menghirup udara segar di Antalya sambil memperkuatkan kemahiran dan cara fikir sebagai pemain bola profesional,” ujarnya teruja ingin mengikuti perjalanan bersama pemain namun masih ada lagi kerja yang belum selesai di tanah air.