PEMILIK kelab Kuala Lumpur City FC, Noor Azri Datuk Seri Azerai berbangga dengan prestasi semasa yang ditunjukkan kelab itu dan turut teruja apabila KL City mencatat kemenangan pertama dalam Liga Super pada awal April lalu.

Azri, 23 adalah pemilik kelab paling muda dalam industri bola sepak tempatan kini sudah mula mengatur pelbagai rencana dalam usaha untuk menambahbaik pasukan selain menyediakan kemudahan yang sesuai dengan kehendak bola sepak moden masa kini.

“Saya memang mempunyai keyakinan yang tinggi kepada pihak pengurusan dan juga pasukan untuk memberikan keputusan yang baik. Meskipun kami bermula agak perlahan di peringkat awal, saya teruja apabila menyambut kemenangan sulung KL City ketika menewaskan Sabah FC.

Pengarah Rinani Group Berhad, Noor Azri Datuk Seri Azerai

“Sekarang kelab ini sudah mula menunjukkan taringnya apabila mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dalam Liga Super dan layak ke peringkat seterusnya dalam Piala FA dan seperti yang saya katakan sebelum ini, saya akan berikan yang terbaik kepada pasukan dan mahu kelab ini menjadi lebih baik dari semalam.

“Saya juga sentiasa ingin untuk mempunyai pusat latihan sendiri untuk KL City dan ketika ini kami mempunyai pusat latihan sementara yang lebih baik berbanding padang latihan yang digunakan sebelum ini,” katanya.

Dia yang berkongsi perancangan ini secara eksklusif kepada FLASH SUKAN turut mendedahkan akan turut berbelanja pada jendela perpindahan kedua Julai nanti untuk menambah kekuatan yang sedia ada pada kelab warga kota itu.

Pusat Latihan JDT sering dijadikan contoh buat kelab-kelab lain yang bertanding

“Apa seterusnya untuk KL City adalah selagi kami mempunyai bajet yang bersesuaian, kami akan melabur untuk mendapatkan beberapa pemain dalam jendela perpindahan kedua nanti dan saya percaya Bojan Hodak sudah mempunyai beberapa pilihan kerana dia adalah seorang pakar taktikal yang baik,” tambahnya.

Sejak mencatat kemenangan pertama awal April lalu, KL City tidak menoleh kebelakang dan terkini baru sahaja menewaskan PDRM FC 3-0 untuk melonjak ke tangga keenam liga dengan 15 mata selepas sembilan perlawanan.