PARA peminat Kedah Darul Aman (KDA) FC dijangka dapat menonton perlawanan pramusim di Antalya, Turkiye sepanjang 5 hingga 15 Februari 2023 menerusi saluran KDA TV.
Kesahihan maklumat ini dinyatakan oleh pemilik majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menerusi Facebook pada Rabu.
“Insya Allah, KDA FC akan bermula dengan langkah pertama ke arah membina KDA TV sempena perlawanan pramusim di Antalya, Turkiye.
“Saya sendiri pun tak sabar nak lihat mimpi KDA TV menjadi realiti. Semua yang berlaku atas dunia pada asalnya adalah mustahil sehingga ia dilakukan oleh seseorang atau segolongan manusia.
“Sejak saya memilki KDA FC, saya mula banyak bermimpi dan berangan-angan. Angan-angan adalah hak setiap manusia untuk melakar dan melukis impiannya di dalam kotak minda atau di awan biru.
“Selamat datang KDA TV….ini adalah langkah awal kepada idea yang lebih besar. Jangan malu nak berangan-angan.
“Seseorang itu perlu malu kalau tak berani nak berangan-angan langsung. Hilang angan-angan hilang jati diri dan potensi diri,” katanya.