PEMEGANG saham majoriti kelab bola sepak Kedah Darul Aman, Tan Sri Mohd Daud Bakar mahu para pemain dan barisan kejurulatihan Sang Kenari menukar mentaliti daripada ‘winning mindset’ kepada ‘champion mindset’ selepas mempamerkan aksi mantap ketika membenam Sabah FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Beliau yang lebih suka menerapkan elemen kekeluargaan dalam pasukan Kedah kerana mahukan semua pemain beraksi sebagai sebuah keluarga tidak kira dalam apa jua keadaan dan keputusan yang diterima dalam perlawanan.

“Permainan Kedah sejak tiga perlawanan terakhir ini adalah rentetan kembalinya Kedah kepada ‘rhythm’ yang sepatutnya. Ini adalah pasukan yang baru dibentuk oleh Nafuzi jadi dalam lima bulan itu pelbagai pengalaman, keserasian dan keyakinan diri dapat dibentuk dan saya gembira kerana dapat tamatkan pusingan pertama di tempat keempat.

“Saya mengatakan jika kita kalah jangan jadi manusia beremosi biar kalah dengan ‘dignity’. Jangan tunjuk marah pada sesiapa sahaja. Jika ada isu kita boleh buat aduan tetapi jangan tunjukan emosi kita. ‘Keep your emosi below zero’ dan tukar ‘habit’ kepada yang baharu dan ini adalah perkara yang sukar untuk dilakukan oleh manusia,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Tambah Mohd Daud, beliau turut menyampaikan motivasi kepada pemain-pemain ketika berada di bilik persalinan.

“Dalam bilik persalinan saya katakan tukar minda menang ke minda juara. Ini adalah cabaran baharu buat pasukan untuk ada ‘winning mindset’ mulai malam ini kita perlu latih diri menjadi ‘champion mindset’.

“Pemain belajar antara satu sama lain terutama dengan pemain baharu. Ini normal dan kami sering gunakan konsep kekeluargaan. Apabila kita menyerang kita sebagai keluarga dan bertahan juga sebagai satu keluarga dan tidak benarkan seseorang bergelut seorang diri,” ujarnya yang turut memuji persembahan barisan kendalian Nafuzi Zain terutama dalam pengurusan emosi.

Mengenai perancangan pemain-pemain menjelang jendela perpindahan Julai ini, Mohd Daud memberi gambaran akan membawa masuk beberapa muka baharu.

“Kedah akan bergerak untuk mendapatkan bakat-bakat baharu. Kita mahu tambah kekuatan bukan untuk ganti untuk berikan saingan dalam pasukan dan penyokong juga mahu melihat pemain baharu. Kami cuba lakukan perubahan setiap masa dan Kedah akan ada seorang atau dua wajah baharu,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut gembira dengan kehadiran hampir 10 ribu penyokong ke Stadium Darul Aman seperti yang dia jangkakan dan mahu angka itu menjadi penanda aras baharu kehadiran penyokong ke stadium selepas ini.

“Saya jangkakan 10 ribu yang hadir dan dapat dicapai. Ini satu kejayaan yang luar biasa dan kita nak kekalkan tersebut sebagai tanda aras baharu. Lebih tidak mengapa tetapi jangan kurang dari 10 ribu.”