KESEDIHAN peminat cilik Selangor FC, Darwish Ukail Junaidi selepas menyaksikan pasukan kesayangannya tewas 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) terubat apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail melayan dan memberikan hadiah cukup bermakna buat dirinya.

Peminat berusia 10 tahun itu yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil bersama-sama keluarga dan lengkap berjersi Selangor teruja apabila Pemangku Sultan Johor, tanpa protokol berswa foto dan menandatangani bola kecil yang diberikan penganjur perlawanan akhir, kepadanya.

Perasaan terujanya diibaratkan antara detik terindah, dikongsi bersama FLASH SUKAN dan malah menjadi topik yang dikongsi bersama rakan di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2.

Darwish teruja dengan layanan Tunku Ismail di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya nampak Tunku Ismail berjalan ke arah penyokong dan saya memanggil dia untuk minta ‘sign’ dan tidak sangka dia datang berjumpa saya walaupun saya pakai jersi Selangor.

“Tunku sangat sporting dan tidak kisah untuk bergambar bersama saya dan keluarga serta sain bola yang mana saya akan simpan sampai bila-bila,” katanya.

Detik itu juga turut dirakam dan dimuat naik di laman TikTok peribadinya yang kini sudah ditonton lebih 35 ribu kali dan mendapat pelbagai komen positif yang menggambarkan rasa hormat antara kedua-dua penyokong pasukan.

Meskipun menyokong Selangor, Darwish turut menyatakan dia meminati pemain Harimau Selatan terutama Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Syihan Hazmi kerana mereka hebat bermain dan mewakili Harimau Malaya.

Perlawanan akhir Piala FA itu dinikmati bersama-sama peminat bola sepak tanah air, kerana permusuhan hanya di padang selama 90 minit dan yang penting perasaan gembira yang diraih kerana kedua-dua penyokong bersikap terbuka pada aksi final itu.