PEMINAT bola sepak di Hong Kong merosakkan papan promosi bergambar Lionel Messi selepas bintang itu tidak bermain dalam perlawanan ujian Liga Hong Kong XI menentang Inter Miami, pada Ahad.

Inter Miami, yang tanpa Messi, menang 4-1 ke atas Hong Kong League XI dalam perlawanan di Stadium Hong Kong. La Pulga dan pemain baharu, Luis Suarez, hanya duduk di bangku simpanan dalam perlawanan ini.

Perbuatan vandalisme itu ditemui daripada akaun Twitter atau akaun X offside HK. Akaun tersebut menyiarkan semula mesej pengguna lain pada akaun X mereka.

Dalam rakaman video itu, seorang peminat yang hadir di stadium itu boleh dilihat memusnahkan papan pengiklanan Inter Miami dengan gambar Messi. Peminat itu menendang muka Messi, yang berada di sebelah rakan-rakannya di Inter Miami seperti Suarez, Sergio Busquets dan Jordi Alba, sehingga ia jatuh.

Lapor dari The News, peminat bola sepak di Hong Kong amat kecewa kerana kapten pasukan kebangsaan Argentina itu tidak beraksi walaupun Messi sudah dijangka terlibat dalam perlawanan pertunjukan ini.

Penyokong yang marah, malah meminta semula wang yang dibelanjakan untuk membeli tiket perlawanan dipulangkan. Peminat juga mengejek pasukan yang aktif dalam Major League Soccer (MLS).

Bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak diturunkan kerana dikatakan mengalami masalah hamstring. Ini membuatkan kira-kira 40,000 penonton yang datang terus ke stadium tidak dapat menahan kemarahan mereka.

Tanpa Messi dan Suarez, Inter Miami bermain dengan ramai pemain barisan kedua. Empat gol kemenangan The Herons dijaringkan oleh Lawson, Sunderland, Leonardo Campana dan dua gol Robert Taylor.