MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengingatkan peminat Harimau Malaya agar lebih realistik dalam meletakkan sasaran di Piala Asia 2023.

Menurutnya, layak secara merit selepas 43 tahun adalah pencapaian terbaik dan semua pihak harus berbangga.

“Kita tak boleh jangka Kim Pan-gon (jurulatih Malaysia) dalam dua tahun kita nak menang Piala Dunia, memang tak mungkinlah.

“Jadi harapan kita itu ibarat berpijak di bumi nyata. Ia bukan semata-mata soal kemenangan, tetapi saya fikir pasukan semakin menunjukkan peningkatan,” katanya di Doha, Qatar.

Mengulas lanjut, Hannah menganggap pengendali skuad Harimau Malaya asal Korea Selatan itu mempunyai ‘magis’ tersendiri dalam memacu pasukan ke tahap tertinggi.

Ujaranya, kejayaan layak ke Piala Asia selepas 43 tahun hanya dalam tempoh dua musim adalah bukti kehebatan Pan-gon.

“Saya rasa Kim Pan-gon memang melakukan yang terbaik untuk Malaysia, dalam kurang daripada tiga tahun di mana dalam dua tahun sahaja berjaya membawa Malaysia melangkah jauh, dan ranking sehingga 130 dunia.

“Jadi saya yakin dengan strategi beliau, walaupun ada banyak persoalan dalam sosial media tetapi saya rasa jurulatih lebih tahu mengenai strategi digunakan,” katanya.

Ketika ini skuad Harimau Malaya bersaing di Piala Asia di Doha selepas kali terakhir layak secara merit pada edisi 1980 di Kuwait, 43 tahun lalu.