PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain gembira apabila para pemainnya berjaya mengikut segala perancangan sekaligus mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 1-0 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kemenangan ini juga menyaksikan Sang Kenari semakin menghambat kedudukan Selangor FC untuk merebut tempat kedua Liga Super yang menjanjikan slot ke Piala AFC musim hadapan.
“Syukur kerana dalam lima perlawanan terakhir ini, tiga mata sangat penting. Permainan malam ini sangat baik dan bermain seperti yang dirancang dan beraksi penuh sabar meskipun tanpa empat tonggak tetapi pemain dari mula sampai akhir bermain secara satu pasukan dan kekalkan penguasaan dan tiga mata ini sudah cukup.
“Kami sedar KL City adalah pasukan yang sukar. Mereka lebih berdisiplin pada separuh masa pertama dan lebih menyerang pada babak kedua dan kami sabar, tidak gopoh dan tidak boleh kehilangan bola,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ditanya sama ada Kedah mampu memintas Selangor di tangga kedua, Nafuzi berkata kelebihan dilihat lebih kepada Selangor namun tidak menolak kemungkinan ianya boleh terjadi meskipun sedar ianya bukan perkara yang mudah.
“Perebutan tempat kedua jika dilihat situasi sekarang lebih kepada Selangor, tetapi kita ada sasaran dan berada di landasan betul dan akan berjuang sampai akhir musim walaupun tahu ianya sukar tetapi tidak mustahil dan bergantung pada pemain.
“Sebelum bertemu Selangor, kami perlu berhadapan Negeri Sembilan dan Kelantan terlebih dahulu dan kita perlu menang kedua-dua aksi ini. Saya rasakan penentuan akan berlaku pada perlawanan terakhir iaitu ketika menentang Sabah,” jelasnya.
Nafuzi juga mahu pasukannya menumpukan perhatian kepada dua kejohanan yang masih disertai — Liga Super dan Challenge Cup kerana kedua-duanya penting dan dia mahu menjuarai Challenge Cup.
“Bagi saya kita sekarang fokus Liga Super dan begitu juga Challenge Cup kerana kita mahukan piala itu jadi kita perlu menang apabila bertemu Kuching City pada Rabu,” katanya.
Jaringan tunggal Ifedayo Olusegun menerusi penalti memastikan Sang Kenari terbang tinggi membawa pulang tiga mata penuh dan kini semakin menekan Selangor untuk perebutan slot ke peringkat kumpulan PialaAFC musim hadapan.