PERSATUAN Renang Para Malaysia (Prepma) ingin menjelaskan proses penamaan atlet renang para ke Temasya Sukan Paralimpuk 2024 Paris telah dilaksanakan mengikut prosedur dan kriteria yang telah ditetapkan serta tiada kepentingan kepada mana-mana pihak yang terlibat.
Menurut Presiden Prepma Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, selepas tarikh pemberian slot secara automatik oleh World Para Swimming (WPS) ditutup pada 16 Februari 2024, hanya dua (2) slot sahaja diperolehi oleh Malaysia manakala slot bipartite dibuka untuk permohonan.
“Prepma telah menghantar permohonan melalui Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk slot bipartite dan pada 30 Jun 2024, WPS telah memaklumkan permohonan tersebut adalah tidak berjaya.
“Untuk makluman, pada dasarnya tiga (3) orang atlet telah melepasi masa kelayakan minimum (Minimum Qualifying Standard, MQS) untuk ke temasya Sukan Paralimpik 2024 Paris iaitu Muhammad Nur Syaiful (kelas S5 – 4 acara), Zy Lee Kher (kelas S5 – 2 acara) dan Muhammad Imaan Aiman (kelas S14 – 1 acara).
“Ketiga-tiga atlet tersebut telahpun dimaklumkan oleh Ketua Jurulatih, Fumiyo Minemura mengenai kriteria pemilihan atlet sekiranya Malaysia tidak berjaya mendapat slot bipartite dan perlu membuat pemilihan bagi memenuhi 2 slot yang layak tersebut semasa atlet melapor diri untuk latihan pusat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, pengiraan ranking tertinggi atlet sesebuah negara jika lebih daripada seorang atlet yang melepasi MQS dan dalam konteks ini, ranking Muhammad Nur Syaiful iaitu ranking ke-7 telah diambil kira pada masa pengiraan slot oleh WPS. Ini sekaligus menjawab dakwaan ranking dunia Zy Lee Kher yang menyumbang kepada pemberian dua slot adalah tidak tepat oleh pihak berkenaan.
Berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang dinyatakan, Prepma melalui Jawatankuasa Pemilihan Atlet telah bersetuju untuk menamakan Muhammad Nur Syaiful (S5) (gambar utama) dan Muhammad Imaan Aiman (S14) untuk memenuhi dua (2) slot yang telah diberikan oleh WPS.
“Prepma telah menjalankan sesi pemilihan atlet mengikut kriteria yang adil kepada ketiga-tiga atlet setelah mendapat pandangan dan cadangan dari semua pihak berkepentingan.
“Matlamat dan harapan Prepma adalah supaya semua pihak sentiasa berganding bahu dalam membentuk dan membangunkan ‘insan’ secara menyeluruh melalui program spesifik yang terancang.
“Setiap atlet yang dipilih mempunyai kelebihan masing- masing tanpa menafikan peluang masing-masing. Semangat sepasukan menjadi tulang belakang kejayaan seseorang dengan tidak melebihkan ke’aku’an. Semua atlet adalah merupakan aset terbaik negara ke arah pencapaian cemerlang berterusan,” jelasnya.