PEMAIN naturalisasi, Lee Tuck gembira pasukannya semakin kuat dan gandingan semua pemain semakin serasi selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Pemain berusia 34 tahun ini juga mahu terus berkerja keras bagi memastikan kedudukan empat teratas liga dapat dikekalkan.
Bercerita mengenai jaringan yang dijaringkan, Tuck berkata ianya adalah tentang membaca permainan dan persefahaman yang baik antara dia dan Hidalgo selain mengambil kesempatan atas kesilapan pertahanan lawan.
“Ianya adalah perlawanan yang baik dan saya berjaya jaringkan gol. Saya rasa ini persembahan berpasukan yang baik dan semua perkara menjadi buat saya.
“Progres pasukan ini juga semakin baik dengan saya semakin serasi dengan rakan sepasukan. Namun musim masih panjang dan persembahan ini buktikan kami adalah pasukan yang kuat.
“Gol-gol saya terhasil kerana saya membaca permainan dan faham bagaimana Hidalgo bermain yang akhirnya mendapat jaringan pertama darinya. Segalanya tentang pergerakan tanpa bola dan membaca permainan serta mengambil kesempatan kesilapan pemain lawan.
“Kami menjadi semakin kuat dan bermain baik sebagai satu pasukan. Kami mempunyai jurulatih dan pemain baharu. Atas kertas kami pasukan yang baik tetapi perlu masa untuk sesuaikan diri dan kini kami berada di empat tempat teratas.
“Kami perlu bekerja keras dan bersaing serta kami menjadi pasukan yang lebih baik,” katanya yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Pemain kelahiran England itu juga berharap dengan aksi yang diperagakan dapat menarik minat barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk dia berpeluang sekali lagi menyarung jersi Malaysia dalam perlawanan antarabangsa.
“Saya mahu menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan namun ianya bukan keputusan saya. Saya telah lakukan segalanya dan harap saya berjaya sekali lagi menyarung jersi kebangsaan,” tambahnya.
Dua jaringan itu menambah jumlah golnya kepada empat sejak menyertai Kedah dan dia berjaya membantu Sang Kenari melonjak ke tangga keempat Liga Super selepas berakhir pusingan pertama dengan 13 perlawanan.