PENANG FC bangkit dari ketinggalan satu jaringan untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Super dan keempat dalam semua pertandingan apabila menewaskan Kuching City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Jaringan Akmal Rohisham dan Soony Saad pada setiap babak mengekalkan momentum kemenangan Penang FC dan melebarkan rekod tanpa kemenangan Kuching City kepada sembilan perlawanan berturut-turut.

Dihadapan 1,783 penyokong yang hadir, Harimau Kumbang menguasai permainan sejak awal perlawanan tetapi dikejutkan dengan jaringan Abu Kamara selepas setengah jam permainan hasil serangan balas Kuching City.

 

Penang FC mendapat gol semangat pada penghujung babak pertama apabila kesilapan Norazlan Razali yang gagal menangkap kemas bola hantaran lintang disempurnakan dengan baik oleh Khairul Akmal Rohisham untuk kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Semangat jaringan minit terakhir itu dibawa pada babak kedua apabila Penang terus mengasak ke kubu Kuching City dan akhirnya Soony Saad berjaya menggegar gawang untuk gol kedua Penang FC.

Beberapa perubahan dilakukan oleh Manzoor Azwira untuk menambah sengat barisan serangan Penang dan juga memasukkan pemain tengah bertahan untuk memastikan benteng Harimau Kumbang kekal kukuh ketika permainan berbaki 20 minit.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Penang FC mendapat tonik terbaik selepas permulaan yang hambar dan akan menggunakan cuti rehat liga yang memberi laluan kepada Sukan Sea untuk mempersiapkan pasukan.

Dengan kemenangan ini, Penang FC melonjak ke tangga ketujuh liga dengan 14 mata dari 10 perlawanan selepas mencatat empat kemenangan, dua seri dan dua kekalahan manakala Kuching City kekal di tangga dengan empat mata.