FOTO : PERAK FC

PENANG FC memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk meraih kemenangan sulung Liga Super menewaskan Perak FC 3-1 dalam pertemuan dua pasukan utara di Stadium Bandaraya.

Debut daripada penjaga gawang, Azfar Arif serta persembahan meyakinkan para pemain tuan rumah antara momen terbaik disajikan sepanjang babak pertama.

Penang tidak menunggu lama membocori pintu gol pelawat menerusi Soony Saad yang membuka jaringan pertama menerusi rembatan dari sebelah kanan seawal minit ketujuh.

Rentak permainan anak buah Manzoor Azwira Abdul Wahid yang bermain one touch football short passing seakan mengelirukan Perak yang kebuntuan mencari jaringan penyamaan.

Jentera tengah The Panthers yang digerakkan oleh Adriano Aparecido Narcizo dilihat banyak membantu termasuk lorongan-lorongan berbahaya kepada rakan sepasukan.

Nik Akif Syahiran menambah gol kedua m-37 selepas merampas bola kesilapan hantaran Haziq Puad untuk kedudukan kekal selesa menuju tamat 45 minit separuh masa.

Pemain Perak memasuki padang semasa aksi bertemu Penang di Bandaraya.

The Bos Gaurus melakukan empat pertukaran serentak Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea, Hadi Fayyadh dan Sunil Chandran bermulanya separuh masa kedua.

Peluang terbaik hadir apabila sepakan percuma diambil Luciano selepas itu nyaris membuahkan hasil tetapi Azfar bijak menepis menafikan gol semangat Perak.

Kelalaian Penang yang membiarkan pelawat menekan membawa padah apabila lorongan kaki kiri Fayyadh disudahkan kaki kanan Seo Seon-ung bagi merapatkan kedudukan buat Perak m-71.

Namun, ia gagal menyekat penyokong Harimau Kumbang berpesta dan pulang ceria ke rumah untuk meraikan kemenangan yang dicari-cari selepas enam perlawanan apabila pemain gantian, Giovane Gomes menanduk masuk gol ketiga pada baki 10 minit permainan.