KEJAYAAN mengikat tanpa sebarang jaringan ketika bertemu kelab Liga Super Perak FC pada aksi persahabatan di Ipoh tempoh hari sedikit melegakan pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Menurutnya, perlawanan kompetitif pramusim memberikan dirinya mencari formula menyusun skuad Penang yang lebih utuh sebelum saingan sebenar bermula pada Mei depan.

Ujar Akmal Rizal, perlawanan itu memberi peluang kepada para pemain untuk menunjukkan potensi mereka kepada jurulatih dan pengurus pasukan.

Para pemain Penang FC tekad buktikan terbaik musim ini.

“Saya dah beritahu kepada semua pemain ini masa untuk mereka tunjukkan mereka bersaing secara sihat, bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama,” kata jurulatih berusia 42 tahun itu kepada FLASH SUKAN.

Beliau juga menekankan bahawa persaingan yang sihat di antara pemain adalah penting bagi meningkatkan mutu pasukan.

“Saya melihat komitmen mereka yang diturunkan tapi agak memeningkan kepala kerana saya bukan nampak 11 pemain sudah bersedia tetapi lebih daripada itu.

“Ini satu persaingan yang sihat, jadi saya boleh mempunyai banyak pilihan dalam setiap perlawanan selepas ini,” tambahnya.

Pengendali, Akmal Rizal melihat semua pemain beri 100 peratus dalam latihan dan perlawanan.

Walaupun gembira dengan semangat persaingan yang ditunjukkan oleh pasukan, jurulatih muda asal Kedah itu mengakui bahawa masih banyak aspek yang perlu diperbaiki untuk menghadapi lawan-lawan yang lebih handal dalam saingan Liga Super.

“Jika corak sebegini dipamerkan oleh pemain, macam saya katakan tadi masih banyak yang perlu kita perbaiki untuk kita menghadapi perlawanan yang lebih besar dalam saingan Liga Super,” katanya.

Sesi persahabatan awal musim ini memberikan peluang kepada pemain bayangan The Panthers untuk menunjukkan bakat mereka dan mungkin mendapatkan tempat dalam skuad utama untuk perlawanan akan datang.