KEMARAU tanpa kemenangan Penang FC dalam aksi awal tiga perlawanan Liga Super mungkin terlerai menjelang pertemuan berdepan Selangor FC di Stadium Bandaraya pada Ahad.

Apa tidaknya, kem Penang semestinya dalam kondisi segar memandangkan berjaya menamatkan perjuangan jiran tetangga, Kedah Darul Aman FC di pusingan pertama Piala FA dan ianya menjadi azimat bagi memburu kejayaan di halaman sendiri.

Pasukan Selangor yang bakal ditempuhi bukanlah asing kerana kedua-duanya pernah bertembung pada aksi final Piala Harapan 2023 ketika Penang menjadi tuan rumah kejohanan empat penjuru.

Menariknya, skuad jolokan Haria Penang Haria itu muncul juara di Stadium Negeri Batu Kawan pada awal Februari lepas. Tetapi, perlawanan itu sudah sebulan lebih berlalu dan saingan liga menjanjikan 1001 kisah berbeza dalam dan luar padang.

Selangor hadir pakej berbeza yang membariskan beberapa pemain kebangsaan seperti Faisal Halim, R Ruventhiran dan pertahanan, Ahmad Khuzaimie serta awang import yang pastinya cuba menyekat kebangkitan Penang yang kian bernafsu mencari tiga mata sulung.

Atas kertas, rekod perlawanan musim ini berpihak kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang memenangi dua permainan serta sekali seri. Bekas juara edisi 2009 dan 2010 itu juga masih belum tewas serta hanya bolos satu jaringan semasa pertemuan terakhir dengan Sri Pahang FC di Petaling Jaya.

Kelibat penjaga gawang berusia 24 tahun, Shafiq Afifi Suhaimi juga dijangka mencuri perhatian selepas tampil tiga kali dalam kesebelasan utama termasuk aksi penyelamatan hebat semasa bertemu Kedah.

Ada kemungkinan tidak banyak pertukaran formasi bakal dilakukan Chong Yee Fatt di barisan pemula selain mengekalkan duo tonggak serangan, Hassan Saad dan Giovane Gomes Da Silva bagi merobek kubu Merah Kuning.

Untuk rekod, Harimau Kumbang kini berada pada kedudukan kesembilan liga dan mengumpul dua mata.