PENGENDALI interim Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sedar akan kekuatan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berbanding pasukannya dan mahu bersikap realistik apabila bertemu dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Akmal juga sedar tugas berat menanti anak-anak buahnya kerana JDT baru melalui dua perlawanan yang cukup kompetitif iaitu final Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC dengan muncul sebagai pemenang dalam kedua-dua perlawanan itu.
Penang FC juga dalam keadaan tempang apabila hanya seorang sahaja pemain import yang boleh diturunkan, Abdul Abdeen manakala beberapa orang pemain tempatan yang cedera.
“Kita perlu realistik dengan kekuatan pasukan Penang dan JDT ketika ini dan oleh sebab itu pasukan kami sedar tugas yang cukup sukar Sabtu ini ditambah pula hanya Abdeen sahaja pemain import yang cergas untuk bermain.
“Beberapa pemain juga mengalami kecederaan dan perlawanan ini penting untuk pemain-pemain muda mendapat pengalaman bermain dalam perlawanan yang besar di hadapan puluhan ribu penonton yang akan hadir.
“Saya mengharapkan pemain dapat berikan aksi terbaik masing-masing dan cuba sehabis baik memberikan tentangan pada pasukan JDT,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dibawah kendalian Akmal Rizal, Penang masih belum tewas dalam tiga perlawanan dan akan menghadapi JDT yang mahu mengekalkan rekod ‘invincible‘ tanpa kalah sepanjang musim dan menyambut kejayaan ‘Decade of Dominance’ sejurus perlawanan itu berakhir.
Penang yang kini di tangga ke-10 liga boleh mendaki ke tangga kesembilan sekiranya berjaya mendapat tiga mata di Iskandar Puteri serta mampu turun ke tangga ke-11 sekiranya tewas dan Perak FC dapat meraih kemenangan ke atas Terengganu FC.