PENANG FC kini sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pembukaan Liga Super menentang naib juara Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
Meskipun bergelut pada musim lalu tetapi kini Penang FC dilihat semakin menyerlah ketika kempen pramusim dengan kemasukan majoriti pemain baharu dilihat merubah corak permainan yang dipamerkan.
Skuad Harimau Kumbang juga berjaya muncul juara Piala Harapan, kejohanan empat penjuru yang disertai Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan wakil Singapura, Geylang International FC.
Bergelar juara Piala Harapan secara tidak langsung meletakkan Penang FC sebagai salah satu pasukan pilihan musim ini namum perkara ini cepat ditepis pembantu jurulatih, Chong Yee Fatt yang menyifatkan kejohanan itu hanyalah perlawanan ujian pramusim yang tidak menunjukkan kekuatan sebenar pasukan lawan.
“Pasukan yang menyertai Piala Harapan masing-masing dalam kempen pramusim dan mereka tidak menunjukkan kekuatan sebenar namun apa yang positif adalah kami mempamerkan aksi yang baik termasuk dalam beberapa perlawanan persahabatan yang lain.
“Kini pasukan kami berjaya menarik perhatian ramai namun saya berpesan kepada pemain supaya berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan kejayaan itu terutama untuk menghadapi perlawanan pertama liga menentang KL City.
“Semua faham bahawa pasukan KL City adalah pasukan yang mantap dengan mereka mempunyai pemain individu yang baik serta bermain sebagai satu pasukan yang mantap. Kami sudah bersedia terutama kekuatan mental kerana ianya pasti satu perlawanan yang sukar tetapi kami tetap positif,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Penang FC tidak dapat menggunakan khidmat Ketua Jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid untuk perlawanan ini kerana masih berada di Eropah mengikuti kursus kejurulatihan FAM dan Yee Fatt bertanggungjawab penuh ke atas pasukan.
Harimau Kumbang pastinya mahu melakukan kejutan di laman lawan dengan membawa pulang tiga mata tetapi KL City bukanlah lawan yang mudah dan pastinya satu perlawanan yang menarik bakal disajikan kedua-dua pasukan.